Wolff mendedahkan, dia tidak tahu pemandu Britain itu menguji jentera Yamaha R4 di Jerez pada 1 Disember lalu bersama dua penunggang Kejuaraan Superbike Dunia, Michael Van de Mark dan Alex Lowes.

Bercakap kepada ­akhbar La Gazzetta Dello Sport, Wolff berkata: “Apabila berita itu tersebar, saya cuba menghubunginya dan ia sia-sia.

“Jadi saya menghubungi salah seorang jurutera yang bersama dengannya. Saya tanya, kamu di mana? Dia jawab... ‘mmm...kami di trek.’

“Saya tanya lagi, apakah kamu bertiga menunggang motosikal?..Dia kemudian membalas ‘Ya tetapi kami sudah selesai”.

Hamilton bagaimanapun mengalami kemalangan ringan dalam sesi tersebut dan itu membuatkan Wolff bertambah berang.

Biarpun tidak gembira dengan aktiviti Hamilton di luar musim F1, namun Wolff berkata, dia masih sempat bergurau dengan pemandu tersebut.

“Saya beritahu dia, kamu tidak dibenarkan langsung menyentuh motosikal sepanjang sambutan Krismas,” ujarnya lagi.

Hamilton sebelum ini juga pernah menunggang jentera MotoGP bersama legenda dunia, Valentino Rossi, malah penunggang Itali itu pernah memujuknya agar beralih kepada perlumbaan motosikal.

Rossi mengajak Hamilton melawatnya di Itali untuk menguji kemudahan litar di Tavullia, tempat di mana dia menjalankan program pembangunan bakat muda.

Sementara itu, Hamilton mengakui, impiannya sejak kecil adalah mahu menjadi pelumba motosikal.

Begitupun, semuanya berubah selepas bapanya memperkenalkan dia kepada go-kart.

“Saya memang mahu menunggang motosikal sejak kecil, tetapi bapa berkeras mahu saya beraksi dalam kart.

“Biarpun sudah meraih kejayaan dalam F1, cinta saya kepada jentera dua roda tidak pernah kurang,” kata­nya. – AGENSI