Hamilton meraih gelaran dunia dalam kategori pemandu dengan menamatkan Grand Prix (GP) Mexico di kedudukan keempat, iaitu perlumbaan ke-19 pada tahun ini.

Brazil dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah dua perlumbaan akhir musim ini dengan aksi terdekat bakal berlangsung 25 November nanti, lapan bulan selepas tirai perlumbaan disingkap di Melbourne.

Jadual 2019 juga menawarkan 21 perlumbaan, begitupun kempen akan bermula dari pertengahan Mac hingga awal Disember sambil penganjur, Liberty Media, berminat untuk menambah perlumbaan.

Pada 2020, GP Vietnam pertama akan berlangsung sementara timbul cadangan perlumbaan tambahan di Amerika Syarikat, iaitu di Miami.

Bagaimanapun, Hamilton tidak berminat dengan cadangan tersebut dengan menegaskan dia akan meninggalkan sukan itu sekiranya berlaku pertambahan perlumbaan.

“Saya tidak akan berada di sini jika kempen membabitkan 25 perlumbaan, itu sudah pasti.

“Ketika ini pun sudah terasa seperti kami terbabit dalam 25 perlumbaan, jadi saya tidak fikir ia adalah perkara yang bagus, 18 perlumbaan mungkin adalah yang terbaik.

“Saya amat menyukai perlumbaan tetapi musim perlumbaan seakan terlalu panjang.

“Bagi kami, ini adalah komitmen besar dan tidak banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga. Kempen mengambil masa yang panjang dan masa bersama keluarga semakin singkat,” kata pemandu Mercedes itu menjelang GP Brazil.

Tambahnya, tempoh rehat yang singkat ketika ini juga telah memberi tekanan kepadanya kerana walaupun tiada perlumbaan ketika tempoh rehat namun persiapan minda dan fizikal perlu dikekalkan untuk menghadapi perlumbaan musim depan.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah untuk diri saya sendiri. Dengan rehat yang begitu singkat, kami perlu mula bersiap untuk menghadapi musim depan dengan me­netapkan minda yang betul, itu sesuatu yang sangat sukar dilakukan.

“Selepas rehat, kami perlu mendapatkan rentak dan pada masa sama, perlu menjalani program pemulihan,” ujar bintang Britain itu lagi. – AGENSI