Rakaman menunjukkan, kereta yang dipandu Floersch, 17, hilang kawalan ketika berada pada kelajuan tinggi, sebelum melambung dan menghempap kereta pelumba lain lalu merempuh penghadang di kawasan media.

Penganjur Grand Prix Macau dalam satu kenyataan berkata, Floersch sudah sedar dan dipindahkan ke hospital, manakala pemandu Jepun, Sho Tsuboi yang dilanggarnya mengalami kecederaan lumbar.

Tiga lagi individu iaitu seorang marsyal serta dua jurugambar turut terlibat dalam kemalangan itu, dan dipindahkan ke hospital.

Seorang jurugambar dari Jepun mengalami gegaran tetapi sedar serta stabil, manakala jurugambar dari China mengalami masalah pernafasan.

Perlumbaan dihentikan serta merta selepas bendera merah dikibar, namun selepas sejam tertangguh ia kemudian diteruskan.

“Kecederaan yang dialami Sophia Floersch tidak mengancam nyawanya.

“Saya dengar, dia mungkin perlu menjalani pembedahan dan kini berada di bawah pemantauan pihak hospital,” kata Setiausaha Perhubungan Sosial dan Kebudayaan Macau, Alexis Tam.

Floersch adalah pemandu sedang meningkat dalam sukan permotoran selepas melakar rekod pelumba termuda muncul juara Kejohanan Remaja Ginneta 2015 pada usia 14 tahun.

Dia memulakan karier daripada go-kart di usia lima tahun dan mengembangkan sayapnya ke Formula 4 pada 2015.

“Ini adalah sukan yang berisiko tinggi, berbahaya dan melibatkan banyak faktor, namun ramai peminat mahu menontonnya.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan penganjuran Grand Prix Macau ke-65,” kata Alexis lagi. – AGENSI