Pasukan dari Itali itu bakal berada di Sepang dengan ceria kali ini, walaupun mengharungi musim yang buruk tahun lalu.

Fernando Alonso di tangga pertama dalam senarai pelumba, empat mata mengatasi rakan sepasukan, Felipe Massa selepas tamat dua pusingan perlumbaan.

Ferrari mengatasi musuh ketat, McLaren Mercedes apabila menduduki tempat teratas dalam senarai pengeluar.

Musim lalu, Ferrari mengakhiri musim F1 di tempat keempat di belakang Brawn GP.

Ia merupakan pencapaian terburuk pasukan itu sejak 1993.

Namun, pasukan gergasi Itali itu bangkit apabila meneruskan aksi cemerlang kelmarin pada GP Australia dengan Massa berjaya menduduki tangga ketiga, manakala juara dunia dua kali, Alonso di tempat keempat di belakang pelumba McLaren, Jenson Button.

Button memenangi GP Australia, kelmarin.

Litar Sepang bakal menjanjikan cabaran yang berbeza dan lebih mencabar, selepas mengharungi perlumbaan yang panas serta kering di Bahrain, manakala cuaca tidak menentu di Melbourne.

Ketua pasukan, Stefano Domenicali memuji usaha yang ditunjukkan oleh dua pemandunya, tetapi memberi ingatan supaya bersedia mengharungi cuaca panas pada GP Malaysia.

''Kami perlu terus fokus dan bersiap sedia sebaik mungkin untuk perlumbaan di Malaysia.

''Kami bakal mengharungi keadaan yang sama sekali berbeza dengan apa yang dilalui pada dua perlumbaan sebelum ini,'' katanya.

Sementara itu, Button, yang masih meraikan kemenangan pertama bersama McLaren, mahu mengekalkan momentum pada GP Malaysia.

''Adalah penting untuk kami meraih mata, lebih-lebih lagi dalam situasi kami tidak dapat meramalkan apa yang berlaku pada perlumbaan seterusnya.

''Kami perlu merendah diri dan berharap dapat melakukan kejutan di Sepang, dengan kereta yang lebih baik,'' kata Button.

Ketua pasukan McLaren, Martin Witmarsh berkata: ''Kami meninggalkan Albert Park dengan satu dorongan yang besar untuk kami mengekalkan momentum pada GP Malaysia.''

GP Malaysia turut membuka peluang kepada Red Bull-Renault untuk menebus kehampaan, setelah melepaskan dua peluang keemasan di Bahrain dan Melbourne.

Sebastian Vettel pula menyalahkan pasukannya, Red Bull-Renault yang menafikan impian untuk menang di Australia, kelmarin.

Pelumba Jerman berusia 22 tahun itu, yang mencatat masa terpantas pada pusingan kelayakan, dan mendahului sehingga pusingan ke-26 pada perlumbaan di Melbourne, mengalami masalah brek sehingga gagal menamatkan perlumbaan.

Masalah yang yang sama dilalui Vettel pada GP Bahrain, dua minggu lalu.

Dia mendahului sehingga pusingan ke-34 perlumbaan, sebelum mengalami masalah mekanikal yang menyebabkannya dia menduduki tempat keempat.

''Kami bekerja keras untuk mengatasi masalah pada kereta. Kami berharap dapat mengharungi perlumbaan penuh dan melihat kibaran bendera di garisan penamat pada GP Malaysia,'' katanya.

Rakan sepasukan, Mark Webber, yang sekali lagi terlepas peluang untuk menjuarai perlumbaan di negara sendiri, turut mengintai peluang untuk memperbaiki keputusan di Sepang.

Juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher yang berdepan masalah pada selekoh awal di Melbourne, dan menamatkan saingan di tempat ke-10, mahu mengutip mata untuk pasukannya, Mercedes GP.

''Pastinya menyeronokkan jika dapat meraih mata, harap berbuat demikian pada perlumbaan seterusnya di Malaysia,'' katanya. - AFP