Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa prestasi Hamilton 60 peratus dipengaruhi oleh emosinya dan perkara itu sering membuatkan krew pasukan Mercedes AMG Petronas terutama mekaniknya, Marc Priestley pening kepala.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Priestley dalam buku bertajuk The Mechanic: The Secret Life of the F1 Pit Lane.

Hubungan Hamilton dengan teman wanitanya dahulu iaitu model dan artis terkenal Nicole Scherzinger juga sering mempengaruhi prestasi turun naik pelumba Britain tersebut hingga krew pasukan lebih memberikan perhatian kepada pasangan tersebut bagi memastikan semuanya sentiasa baik berbanding jentera.

Kata Priestley setiap kali Hamilton memberitahu ingin keluar bersama Scherzinger, maka situasi dalam kalangan krew terus berubah umpama aksi di dalam pit stop ketika perlumbaan.

Mereka akan memantau setiap perkembangan Hamilton dan berdoa agar tiada pergaduhan antara mereka yang mampu menjejaskan aset utama pasukan itu.

“Sekiranya Hamilton pulang dengan gembira maka anda boleh menarik nafas lega kerana dia pasti berada di tahap prestasi terbaik ketika perlumbaan terdekat berlangsung.

“Mereka juga pernah berselisih faham dan ia membuatkan keseluruhan minggu itu menjadi amat teruk buat pasukan.

“Bukan itu sahaja, andai dia mempunyai isu dengan bapanya maka prestasinya akan jatuh.

“Prestasinya banyak bergantung kepada emosinya dan ia adalah kelemahan pelumba itu.

“Kerana itu juga kami amat menyayangi Lewis Hamilton. Dia meluahkan isi hatinya dan anda boleh tahu emosinya, boleh jadi baik atau buruk,” kata Priestley.

Hubungan ‘on-off’ Hamilton dengan Scherzinger hanya bertahan selama tujuh tahun dan mereka berpisah buat kali terakhir pada 2015.

Hamilton yang dinobat sebagai juara dunia 2017 pada Grand Prix F1 di Mexico, 29 Oktober lalu kini dikaitkan dengan beberapa artis dan model terkenal seperti Rita Ora, Winnie Harlow dan Barbara Palvin.