Juara motosikal dunia tujuh kali itu menang dengan kelebihan enam saat ke atas bekas pemandu Audi LMP1, Marco Bonanomi pada peringkat pembukaan.

Rossi, 38, yang dibantu juru­arah, Carlo Cassina bagaimanapun menerima tamparan di awal perlumbaan apabila dikenakan penalti 10s kerana jentera Ford Fiesta RS WRC yang dipandunya kurang tujuh kilogram daripada berat yang dibenarkan.

Keadaan itu membolehkan Bonanomi yang memandu Citroen DS3 mendahului sai­ngan dengan 2.7s sebelum dia gagal mengekalkan kedudukan menuju pe­ringkat terakhir selepas dua kali terbabas dari trek.

Kesilapan lawan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rossi untuk memenangi perlumbaan, sekali gus memintas rekod Rinaldo Capello sebagai pemenang terbanyak Rali Monza dengan lima kejuaraan.

Selepas mengharungi kempen mengecewakan dalam saingan MotoGP 2017 apabila sekadar menduduki tangga kelima, kemena­ngan ini menjadi pengubat luka buat Rossi, yang menegaskan belum bersedia untuk berhenti berlumba dan akan beralih kepada empat roda.

“Saya takut untuk berhenti (berlumba). Selepas menamatkan karier MotoGP, saya akan terus aktif dalam sukan permotoran untuk 10 tahun lagi. Saya akan terus berlumba selagi masih kompetitif,” katanya kepada stesen radio Itali, Radio Deejay, Jumaat lalu.

Rossi juga mengakui, dia masih bujang dan sukar membina hubungan yang stabil dengan semua wanita yang pernah di­dampinginya kerana sibuk de­ngan dunia perlumbaan. – AGENSI