Berbeza pula dengan Leona Chin Lyweoi, yang hanya mahukan sebuah kereta sport terpakai, biarpun ibunya pernah menawarkan kereta baharu yang lebih bersesuaian dengan personalitinya.

Dia tetap dengan pilihan tersebut kerana sedia maklum tentang potensi kenderaan tersebut dalam sukan permotoran drift.

Kerana terlalu meminati sukan permotoran, wanita ini sanggup memandu kereta lama jenis Nissan Silvia 200SX yang berharga kira-kira RM40,000 untuk dia berlatih drift.

Malah, pemilikan kereta tersebut menjadi titik tolak pembabitannya dalam sukan permotoran sejak 10 tahun lalu.

Kecintaan terhadap kenderaan sport semakin menyerlah apabila dia mula memandu keretanya dalam pelbagai teknik pemanduan sehingga mampu melakukan gymkhana, drag, rally, autocross, time attack, endurance racing, go-cart dan circuit racing.

Melihat penampilannya yang begitu anggun, tidak ramai akan menyangka Leona seorang pelumba kereta, malah susuk tubuh kecil yang dimiliki langsung tidak menunjukkan dia boleh bergaya tangkas di lapangan.

Nama wanita berusia 30 tahun ini mula meniti di bibir peminat-peminat sukan permotoran apabila videonya sedang melakukan drift menjadi viral di laman sosial awal tahun lalu.

Kehadiran video tersebut sekaligus menangkis persepsi bahawa wanita tidak boleh menjadi pemandu yang hebat dan profesional.

Bukan penyeri litar

“Saya mengakui apabila berada di litar, kebanyakan peserta lelaki memandang rendah keupayaan saya dan tidak senang melihat wanita berperwatakan feminin seperti saya turut menyertai perlumbaan.

“Mereka menganggap saya sekadar penyeri litar dan berlumba untuk suka-suka sahaja. Namun, apabila satu persatu kemenangan dicatatkan, kehadiran saya mula disedari dan melayan saya sama seperti pelumba-pelumba lain.

“Tidak dinafikan perwatakan saya tidak menggambarkan jiwa saya. Sebenarnya, apabila saya mula menyarung topi keledar dan mengenakan pakaian keselamatan, personaliti saya boleh bertukar 360 darjah.

“Saya membuang rasa takut dengan beranggapan bahawa semua pesaing adalah sama dan jika mereka boleh menjadi yang terbaik saya juga mampu melakukannya,” katanya ketika ditemui bersama kereta sport berwarna hijau baru-baru ini.

Disebabkan semangat itu, Leona masih bertahan di dalam industri walaupun pelumba wanita jarang sekali ditampilkan dalam mana-mana perlumbaan.

Malah, disebabkan kekurangan pelumba wanita, peserta lelaki dan wanita tidak dapat diasingkan membuatkan dia terpaksa bekerja lebih keras untuk mencapai standard tersendiri dalam sukan permotoran.

Terbaharu, dia mencatatkan kenangan paling manis apabila melakar kejayaan dengan mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan siri China Renault Clio Cup Car bersama barisan pelumba dunia di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, pada Mac lalu.

Sudah pasti pencapaian menjulang gelaran dan menaiki podium seperti itu menjadi pemangkin semangat untuk terus melebarkan sayap biarpun menyedari sukan yang didominasi golongan lelaki ini begitu mencabar mental dan fizikal.

Tidak gentar kepada ego lelaki yang pantang dicabar wanita, kemenangan Leona juga bukan sekadar nasib, sebaliknya hasil kerja keras sehingga meletakkan dia di liga tersendiri.

Segalanya bermula apabila ibunya membelikan kereta yang diidamkan. Dia mula menjadikan drift sebagai hobi dan kelibatnya dalam sukan tersebut disedari oleh seorang pelumba drift berpengalaman, Ah Fai.

Lelaki itu menyatakan kekagumannya melihat kemampuan Leona memandu kenderaan jenis ini.

“Ah Fai mengajar saya melakukan drift dengan betul. Dia mahu saya memahirkan diri dengan asas drift seperti doughnut dan pusingan lapan. Dia mengesyorkan saya untuk menyertai beberapa pertandingan bagi meluaskan pengetahuan dalam sukan ini.

“Saya tidak mampu untuk mengupah Ah Fai sebagai jurulatih, oleh itu saya bekerja dengannya sebagai pentadbir untuk pasukan drift miliknya dan mengutip tiket di pagar setiap kali acara berlangsung sebagai upah dia mengajar saya,” katanya yang mengagumi pelumba Jepun, Nobuteru Taniguchi.

Bawa ibu ke litar

Minat anak keempat daripada lima beradik ini, pernah dihalang oleh ibunya kerana menganggap sukan itu ‘terlalu lasak’ untuk seorang wanita terutamanya apabila melibatkan hal keselamatan.

Namun, Leona tidak sekalipun berputus asa untuk meyakinkan ibunya bahawa dia mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Dia berusaha menangkis persepsi tersebut dengan membawa ibunya ke litar untuk memahami selok-belok perlumbaan dan aspek-aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan oleh seorang pelumba.

“Memandu kereta dengan kelajuan yang tinggi bukan sekadar menekan minyak dan mengawal stereng, sebaliknya lebih dari itu. Mereka perlu mengetahui tentang pemanduan yang tidak membahayakan diri dan orang lain, tahu mengawal kereta semasa membuat lencongan dan pelbagai lagi.

“Lama-kelamaan ibu mulai faham keinginan saya dan memberikan inspirasi kepada saya untuk meneruskan kerjaya ini. Malah, dia sendiri mahu saya menjadi seorang pelumba wanita luar biasa yang bukan mahu mengejar glamor tetapi mencipta kejayaan yang membanggakan,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari University of Northumbria, di Newcastle, England.

Menganggap bunyi deruman enjin kereta di litar sebagai sesuatu yang ‘menenangkan’, dia juga merasakan kepuasan dalam berlumba adalah satu perasaan yang sukar ditangkis dan kelajuan boleh meningkatkan adrenalinnya untuk terus mencipta kemenangan.

Cari dana sendiri untuk berlumba

Sejujurnya, Leona mengakui cabaran terbesar dalam sukan yang diceburinya bukan dalam mempelajari kemahiran semata-mata, tetapi mencari dana yang mencukupi.

Ini kerana, sukan bermotor antara sukan yang sangat mahal dan tidak banyak penaja berminat disebabkan kos utama seperti tayar, alat ganti kenderaan, logistik dan perjalanan mencecah ratusan ribu ringgit.

Tidak termasuk kos yuran kemasukan, sesi latihan, mekanik dan pasukan penyelenggaraan kereta.

Apa yang boleh dilakukan, jika mendapat peluang berlumba dia perlu melakukan yang terbaik kerana dari situ mampu meraih kepercayaan bahawa dia boleh mengharumkan nama Malaysia.

“Saya sedikit kecewa dengan industri permotoran di Malaysia yang hanya mengutamakan perlumbaan seperti Formula 1 dan Moto GP sahaja, sedangkan kita mempunyai banyak bakat dalam sukan permotoran yang lain.

“Mereka tidak diketengahkan kerana tiadanya saluran yang betul dan kurangnya penaja untuk membawa bakat-bakat ini ke persada antarabangsa.

“Sepuluh tahun saya tidak berhenti mencari penaja demi mengharumkan nama Malaysia. Saya tidak menafikan negara luar lebih menghargai atlet seperti saya malah menawarkan tempat kepada saya kerana percaya saya mampu membawa bendera negara mereka ke podium.

“Saya masih sayangkan Malaysia dan tidak sanggup mengibarkan bendera negara lain di podium. Jadi saya melepaskan peluang tersebut dan mengambil keputusan untuk berusaha sendiri mencipta nama walaupun agak sukar,” katanya yang kini bekerjasama dengan syarikat seperti WebTVAsia, Prodigee Media, Tom’s Stickers, Kuraz Motorsports, BRM Chronographes, dan Mitsubishi Motors.

Masih mengharapkan sokongan daripada kerajaan dan syarikat-syarikat swasta memberi peluangnya mengetengahkan kemampuan, Leona tidak mahu mensia-siakan prospek yang dimiliki.

“Dahulu saya pernah dikenali sebagai girl drifter, namun kini saya berusaha untuk meletakkan diri saya sebagai atlet dalam sukan permotoran,” katanya yang bakal ke Korea, Thailand dan kembali ke China untuk meneruskan siri perlumbaan China Renault Clio Cup Car untuk musim ini.

Memasang impian memegang gelaran sebagai pelumba wanita nombor satu Asia, Leona menasihatkan wanita yang ingin aktif dalam dunia permotoran supaya bersedia melakukan banyak pengorbanan dari segi masa, latihan, fizikal, dan mental.

Paling penting disiplin dan mempunyai minat pada kereta.

“Sebagai pemandu yang bagus, sangat penting bagi kita memahami bagaimana kereta beroperasi. Jadilah contoh yang baik dan buktikan kehandalan di litar bukan di jalan raya,” katanya.

Dilontarkan soalan bila mahu mendirikan rumah tangga memandangkan umurnya semakin meningkat, ujar Leona, dia tidak memikirkan lagi tentang perkara memandangkan buat masa ini kerjayanya dalam bidang permotoran semakin berkembang.

“Bukan tidak ada lelaki yang mahu mendekati saya, tetapi biarlah saya mendapat apa yang diingini dahulu sebelum merancang untuk mempunyai keluarga.

“Saya mahu terus berlumba dan kalau boleh mahu menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana yang berminat menceburi sukan pemotoran,” katanya sambil tersenyum.- Gambar ZAKARIA IDRIS