Ini merupakan kemenangan ketiga buat pemandu Britain itu di Litar Albert Park dalam tempoh empat tahun, malah kejuaraan ke-13 keseluruhan dalam kariernya. Button juga menjadi pelumba pertama selain Vettel berjaya menerajui kedudukan pemandu dunia sejak Vettel memulakan dominasi bersama Red Bull pada hujung 2010.

Rakan senegara dan sepasukan Button, Lewis Hamilton, yang memulakan perlumbaan dari petak pertama sekadar berpuas hati menamatkan saingan di tangga ketiga, manakala rakan sepasukan Vettel, Mark Webber di tempat keempat, pencapaian terbaiknya dalam 11 percubaan untuk memenangi perlumbaan di negara sendiri.

"Sungguh menakjubkan. Cara yang bagus untuk memulakan musim, terima kasih semua.. serius ia sangat menakjubkan. Jentera ini sangat laju,'' kata juara dunia 2009 itu, yang memulakan perlumbaan dari petak kedua.

Hamilton dilihat bergelut untuk mempamer pemanduan konsisten walaupun berjaya meraih petak pertama kelmarin. Akibat perlahan di beberapa sektor, dia terpaksa menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang penyandang juara berganda dari Red Bull, Vettel yang memulakan saingan dari petak keenam.

Kebangkitan Vettel turut dibantu oleh kehadiran kereta keselamatan yang memasuki trek ekoran kemalangan yang berlaku. Keadaan tersebut sedikit menganggu kelancaran perlumbaan, namun pada akhirnya keputusan di Grand Prix Australia memberi mesej jelas buat Vettel dan Webber, bahawa McLaren adalah pesaing utama mereka untuk seluruh musim ini.

Vettel percaya, pasukannya mempamer aksi di bawah keupayaan sebenar apabila kedua-dua jentera mereka sekadar memulakan perlumbaan dari baris ketiga. Dia menjangkakan, McLaren akan terus menghukum Red Bull sekiranya mereka mengulangi aksi yang sama pada Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

"Mereka nampak terlalu kuat buat kami hari ini, Jenson berhak menang.

"Saya sedikit terkejut melihat kelajuan mereka sejak sesi kelayakan kelmarin. Perlumbaan seterusnya di Malaysia minggu depan, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku,'' kata Vettel.

Sementara itu juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Ferrari mempamer pemanduan hebat apabila menamatkan perlumbaan di tangga kelima, biarpun bermula dari petak ke-12. Dia mengatasi pemandu Jepun, Kamui Kobayashi dari Sauber yang menghuni tangga keenam.

Juara dunia 2007, Kimi Raikkonen yang membuat kemunculan pertama sejak kembali daripada persaraan menghuni tangga ketujuh bersama Lotus, manakala pelumba Mexico, Sergio Perez dari Sauber di tempat kelapan. - REUTERS