Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menegaskan, peluang untuk perlumbaan kereta berteknologi tinggi itu kembali ke Malaysia sentiasa ada bergantung kepada beberapa faktor.

“Saya tidak menolak kemungkinan F1 akan kembali ke Malaysia. Paling minimum saya letak lima tahun, itupun kita perlu membuat kajian terperinci tentang produk F1 itu sendiri sama ada perlumbaan masih relevan di negara ini pada ketika itu.

“Bagaimana dengan perkembangan F1 pada masa itu, tarikan yang mampu diberikan kepada penonton dan sebagainya. Itu semua kita kena nilai kembali. Jika kita bawa F1, adakah kita akan dapat anjurkan lebih baik berbanding perlumbaan 19 tahun lalu.

“Promosi yang dijalankan perlu efektif, berapa ramai pula penonton yang datang untuk beli tiket, kita tak nak sampai kena bagi percuma pula. SIC memiliki kapasiti 130,000 penonton, kalau hanya boleh isi 40,000, saya rasa tak bebaloi untuk sambung semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Razlan mengakui, selepas 19 kali dianjurkan di negara ini, F1 meninggalkan kesan mendalam kepada Malaysia dan ramai yang sukar menerima apabila Sepang tidak lagi menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun Razlan menegaskan, keputusan untuk tidak lagi menganjurkan perlumbaan itu adalah tepat setelah melihat kutipan tiket yang tidak begitu memberangsangkan.

Tegasnya lagi, biarpun penganjuran konsert artis antarabangsa mampu menjadi tarikan, namun beliau tidak mahu mereka ‘ditarik’ ke litar semata-mata kerana hiburan.

“Sepanjang bergelar tuan rumah, penganjuran F1 sering disogok dengan konsert selepas perlumbaan yang mana artis-artis antarabangsa kita bawa untuk mengadakan persembahan. Di sini saya mula meragui niat sebenar penonton kita hadir ke SIC.

“Mereka hendak saksikan konsert atau F1. Sebenarnya kita telah berjaya buktikan bahawa penonton datang ke SIC untuk menyaksikan perlumbaan, dan ia berlaku dalam penganjuran MotoGP. Orang ramai datang kerana perlumbaan,” katanya.

Membandingkan dengan saingan di Singapura, Abu Dhabi dan juga Amerika Syarikat yang meletakkan hiburan sebagai tarikan utama kepada penonton, SIC cukup keberatan untuk mengikut jejak langkah negara-negara berkenaan.