VALTTERI BOTTAS
VALTTERI BOTTAS

Pemandu Mercedes itu yang menjadi pesaing utama kepada rakan sepasukannya, Lewis Ha­milton dan pendahulu kejuaraan dunia, Sebastian Vettel dari Ferrari percaya, prestasi serta kelajuan yang dimiliki meletakkannya di landasan terbaik.

“Memenangi perlumbaan di Rusia telah meyakinkan saya bahawa saya boleh melakukannya kerana selama ini saya sentiasa berfikir bahawa saya mempunyai keupayaan.

“Kemenangan itu membuatkan saya mahukan lebih lagi. Saya mahu menang dan menang lagi,” kata pemandu Finland itu.

Seandainya Bottas menang hujung minggu ini, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Litar de Catalunya, Barcelona memang sering melahirkan pemenang yang berbeza.

Kebanyakan pelumba dengan litar berkenaan kerana ia menjadi venue sesi ujian pramusim, sekali gus sukar meramalkan siapa bakal mendominasi perlumbaan.

Tahun lalu, pemandu Belanda, Max Verstappen dari Red Bull memenangi perlumbaan sulung di Barcelona.

Bottas, yang me­raih petak pertama di Bahrain, diikuti kemenangan di Rusia pula sedia membuktikan dia sememangnya layak mengisi kekosongan juara dunia, Nico Rosberg di Mercedes.

Sementara itu, Mercedes dijangka memperkenalkan perubahan radikal terhadap kereta aerodinamik pada hujung minggu ini, manakala Hamilton mendakwa telah mengenal pasti ‘perkara kecil’ yang menyebabkan dia berdepan masalah di Rusia.

“Kami hanya ber­depan ma­salah kecil (di Rusia), tiada yang khusus. Cuma masalah itu telah membawa kami ke arah yang salah, jadi ia harus diperbetulkan.

“Kami telah belajar daripada pengalaman dan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kereta lebih laju atau mengatasi masalah,” kata Hamilton, yang menduduki tangga keempat di Sochi.

Menjelang perlumbaan hujung minggu ini, Mercedes terus melaungkan amaran kepada pencabarnya apabila menca­tat masa dua terpantas pada sesi ujian bebas pertama, hari ini.

Hamilton mencatat masa satu minit, 21.521 saat, diikuti Bottas dengan 1:21.550s. Dua pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen (1:22.456s) dan Vettel (1:22.600s) masing-masing di tempat ketiga dan keempat terbaik. – AGENSI