Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Mohd. Azam Omar berkata, perkhidmatan itu beroperasi selama tiga hari mulai Jumaat ini yang juga hari pertama acara Formula 1 edisi ke-19 itu berlangsung.

“Seperti tahun-tahun lepas, Rapid KL adalah Penyedia Perkhidmatan Bas Rasmi untuk acara ini. Rapid KL bukan saja akan menyediakan perkhidmatan perantara antara Kuala Lumpur dan KLIA2, tetapi juga menyediakan perkhidmatan sokongan atau ‘feeder service’ di sekitar kawasan litar.

“Kerana ramai yang pergi ke SIC, cara terbaik untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara ini yang mempunyai jadual tersusun dan diberikan keistimewaan dalam perjalanan masuk dan keluar daripada kawasan litar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Azam. bas pertama berlepas daripada tempat naik dan menurunkan penumpang di tiga lokasi iaitu KL Sentral, KLCC dan KLIA 2; dengan bas yang terakhir pada 1 tengah hari untuk ketiga-tiga hari dengan kekerapan antara 30 hingga 45 minit bergantung kepada keadaan trafik.

Menurutnya, tiket-tiket bas berharga RM20 untuk perjalanan sehala dari/menuju KLCC atau KL Sentral dan RM35 untuk perjalanan pergi balik manakala untuk perjalanan dari KLIA2 pula, harga tambang adalah RM12.

Katanya lagi, untuk perjalanan daripada SIC, bas pertama akan meninggalkan kawasan litar pada 4 petang untuk ketiga-tiga hari namun waktu bas terakhir tidak sama dengan bas terakhir pada hari Jumaat yang ditetapkan pada pukul 7 malam.

“Untuk hari Sabtu dan Ahad, bas terakhir dilewatkan kepada 10 malam bagi menyediakan kemudahan kepada para peminat yang ingin pulang lewat khususnya untuk menyaksikan konsert selepas perlumbaan pada hari terakhir.

“Tiket-tiket bas boleh dibeli ketika mengambil perkhidmatan berkenaan di lokasi-lokasi yang ditetapkan. Tiket-tiket juga boleh dibeli awal di stesen-stesen LRT Masjid Jamek, KLCC dan KL Sentral,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE