Lima sukan cemerlang dalam Sukan Asia 2018 ialah boling, lumba basikal, skuasy, pelayaran dan sepak takraw.

Malaysia menamatkan kempen Sukan Asia 2018 dengan tujuh pingat emas, 13 pingat perak dan 16 pingat gangsa.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, pujian juga wajar diberikan kepada keseluruhan atlet negara kerana telah berjuang sebaiknya dalam merealisasikan sasaran tujuh pingat emas.

Tambah Abdul Azim, prestasi tersebut dinilai berdasarkan kutipan pingat dan sasaran yang berjaya dicapai oleh persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

“Secara keseluruhannya kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran ditetapkan malah memperbaiki pencapaian lima pingat emas sewaktu Sukan Asia 2014.

“Prestasi sukan seperti pencak silat, wusyu serta karate mungkin perlu dinilai semula, malah selepas ini akan ada proses post morterm.

“Ada juga sukan yang diletakkan prestasi mereka sebagai memuaskan iaitu, terjun, hoki lelaki dan wanita, ekuestrian, taekwando, memanah, bola sepak, bola keranjang, ragbi tujuh sebelah dan paragliding.

“Disiplin atlet sepanjang temasya juga amat bagus dan sehingga kini tiada yang didapati positif ujian doping dan kita berharap kekal begitu,” katanya dalam sidang akhbar untuk merumuskan prestasi keseluruhan kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia 2018, di sini hari ini.

Ini adalah kali pertama dalam penyertaan Sukan Asia selepas 32 tahun, badminton gagal membawa pulang sebarang pingat manakala pencak silat yang sebelum ini diletakkan sebagai sandaran utama bagi merealisasikan sasaran tujuh pingat emas turut gagal meraih pingat emas.

Karate juga menerima nasib sama apabila apabila menamatkan kempen tanpa pingat emas walaupun diletakkan sandaran sebagai penyumbang utama pingat. – UTUSAN