SIN LI JANE raih pingat perak dalam acara Masters wanita pada Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat, hari ini.

Dalam pertarungan akhir tersebut yang berlangsung di South Point Bowling Center, pemain berusia 25 tahun itu tewas kepada Jung Dawun dari Korea Selatan menerusi jatuhan pin 225-256 dan 221-236.

Kejayaan Li Jane tersebut merupakan penutup kepada aksi skuad negara di Las Vegas yang mempamerkan prestasi cemerlang dengan membawa pulang satu pingat emas dan tiga perak.

Semalam, Li Jane memenangi pingat emas dalam acara berpasukan wanita yang turut diwakili Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Easter Cheah dan Natasha Roslan setelah menundukkan Singapura menerusi jatuhan pin 214-209 dan 188-177.

Dua lagi pingat perak menjadi milik Siti Safiyah dalam acara All-Event dan gandingan Shalin-Li Jane untuk aksi beregu. - UTUSAN ONLINE