Pemain sayap antarabangsa Korea Selatan, Son Heung-Min menjaringkan gol kemenangan Leverkusen untuk mengumpul 10 mata dan menghuni tangga kedua iaitu hanya satu mata di belakang Bayern, yang membalasah SC Paderborn 4-0 untuk mengumpul 11 mata kelmarin.

Selepas Heung-Min meledakkan gol pada minit ke-33, perlawanan dihentikan pada minit ke-39 selama sembilan minit dengan pengadil Guido Winkmann mengarahkan kedua-dua pasukan berlindung di kubu bawah tanah BayArena kerana ribut petir di kawasan berhampiran.

Hanover 96 turut berkongsi mata dengan Leverkusen dan menghuni tangga ketiga selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas FC Cologne.

Pemain Sepanyol, Joselu meledakkan gol buat Hanover pada minit keenam dan masalah di bahagian serangan Cologne berterusan setelah hanya mampu menjaringkan dua gol musim ini.

Borussia Dortmund kehilangan tempat dalam kelompok teratas carta liga setelah mengumpul tujuh mata untuk berada di tangga kelapan selepas diikat dengan keputusan seri 2-2 di laman sendiri menentang VfB Stuttgart yang bertindak memecat pengarah sukan mereka, Fredi Bobic.

Stuttgart hanya menjaringkan satu gol musim ini sebelum perlawanan menentang Dortmund, tetapi Daniel Didavi berjaya menyumbat dua gol pada minit ke-48 dan ke-68 untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-0.

Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang gol untuk Dortmund pada minit ke-73 dan Ciro Immobile memastikan satu mata dibawa pulang menerusi jaringannya ketika permainan memasuki minit ke-86.

Bayern Munich kelmarin kembali menguasai kedudukan teratas Bundesliga apabila juara bertahan tersebut membenam SC Paderborn 4-0 yang sebelum itu melakar kejutan setelah menghuni tangga teratas liga. - AFP