Pandelela, yang turut memahat sejarah sebagai atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu mengakui, ketika Olimpik Rio tinggal kurang tiga bulan untuk memulakan saingan, keinginannya untuk mengulangi pencapaian 2012 semakin kuat.

Malah, sejurus selepas dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan 2015 semalam, iaitu kejayaan ketiganya memenangi anugerah tertinggi sukan negara itu, Pandelela mengakui, sema­ngat untuk memburu pingat di Brazil kian membara.

“Pingat yang saya janjikan mungkin hadir dalam salah satu daripada acara yang saya sertai iaitu 10 meter platform seirama wanita atau 10m platform individu.

“Selepas ini tiada apa-apa kejohanan yang akan saya sertai, jadi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan persediaan menghadapi Olimpik Rio.

“Mungkin saya akan menjalani latihan di luar negara dalam masa terdekat ini sebagai persiapan akhir,” kata Pandelela selepas meraih anugerah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Pada temasya London 2012, Pandelela, 23, meraih pingat tidak diduga dalam acara 10m platform individu selepas tewas kepada jaguh China, Chen Ruo­lin (emas) dan pe­nerjun Australia, Brittany Broben (perak).

Bagaimanapun pada Sukan Olimpik 2016, peluang penerjun kelahiran Bau, Sarawak itu untuk memenangi pingat dilihat lebih ce­rah dalam acara seirama bersama Cheong Jun Hoong kerana gandingan tersebut sudah beberapa kali menghadiahkan pingat, termasuk perak dalam siri Terjun Dunia.

Sedangkan dalam acara individu, Pandelela, yang turut memenangi anugerah Olahragawati Kebangsaan 2011 dan 2012 tampak kurang konsisten dan belum meraih sebarang pi­ngat dalam empat penyertaannya setakat ini.

Selain Pandelela dan Jung Hoong, 12 lagi atlet negara yang sudah melayakkan diri ke Temasya Rio adalah Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang dan Nur Dhabitah Sabri (terjun); Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal), Khairulnizam Mohd. Afendy dan Nur Shazrin (pelayaran), Jonathan Wong (menembak), Welson Sim (renang), Khai­rul Anuar Mohamad (memanah), Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) serta Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat).

Sementara itu, Olahragawan Kebangsaan 2015, Mohd. Al Jufferi Jamari berkata, kejayaan meraih anugerah tertinggi sukan negara itu adalah penghormatan besar buat dunia persilatan di Malaysia.

“Saya akan jadikan gelaran ini sebagai pembakar semangat untuk saya meraih kecemerlangan termasuk mempertahankan gelaran Kejohanan Silat Dunia buat kali ketiga berturut-turut pada hujung tahun ini di Bali, Indonesia,” katanya, yang muncul pesilat pertama dinobat Olahragawan sejak Anugerah Sukan Negara diperkenalkan pada 1966.