Pemain yang pernah beraksi bagi pasukan remaja negaranya  itu akan diserap ke dalam kesebelasan utama TFC 1 bagi menggantikan pemain import senegara, Kim Hyeon Woo.

Khidmat Hyeon Woo terpaksa ditamatkan akibat kecederaan yang dialami ketika mewakili Terengganu menentang kelab dari Kemboja dalam aksi persahabatan di negara berkenaan Disember lalu.

 Jun-Hyeob pula akan beraksi  untuk tempoh setahun dan pemain itu menandatangani kontrak  di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)  di sini hari ini.

Yang turut hadir,  Ketua Jurulatih TFC 1, Irfan Bakti Abu Salim dan Setiausaha Kerja PBSNT, Shahrizan Mohd. Zin.

Menurut Irfan, sekiranya segala urusan selesai, pemain import baharu itu dijangka mula diturunkan dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan di Kota Bharu, Selasa ini.

"Jun Hyeob akan bermain di posisi penyerang dan kita harap dia dapat sesuaikan diri dengan cepat selain serasi dengan pemain lain.

"Kita tertarik dengan kebolehannya malah kebetulan dia yang mewakili kelab dari Kemboja turut menjaringkan gol semasa melawan TFC 1 tempoh hari," katanya ketika ditemui dalam majlis itu.

Selain pernah bermain untuk pasukan remaja Korea Selatan, Jun-Hyeob juga pernah beraksi dengan beberapa kelab bola sepak di Jerman, Jepun selain kelab ternama di negara kelahirannya.

Kemasukannya dalam skuad TFC 1 telah melengkapkan kesemua lima pemain import selain empat sedia ada iaitu Lee Andrew Tuck, Thierry Chantha Bin, Tchetche Kipre dan Igor Zonjic.-UTUSAN ONLINE