Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu mengetepikan lima calon lain termasuk nama besar Datuk Lee Chong Wei (badminton), Azizulhasni Awang (berbasikal trek) dan pemenang 2015 Mohd. Al Jufferi Jamari (silat).

Atlet berusia 20 tahun dari Perlis itu turut mengalahkan Muhammad Rafiq Ismail (boling) serta Mohd. Syahrul Azman (bina badan).

“Saya berasa bangga dengan kemenangan ini. Ini merupakan kali pertama atlet Paralimpik menang anugerah olahragawan. Terima kasih kepada semua yang membentuk saya untuk menjadi sebagai seorang atlet,” katanya dalam ucapannya.

Latif yang memenangi pi­ngat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di Rio de Janeiro, Brazil memecah tradisi apabila muncul atlet berstatus orang kurang upaya (OKU) pertama dpilih sebagai Olahragawan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan me­nyampaikan anugerah kepada olahragawan dan olahragawati.

ASN tahun ini juga mencipta sejarah apabila kali pertama menggabungkan atlet para dan atlet normal dalam pencalonan untuk Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan sejak anugerah tersebut diperkenalkan pada 1966.

Latif membawa pulang wang tunai RM20,000, sijil, piala iri­ngan dan piala pusingan.

Kemenangan Latif dilihat berdasarkan kepada pencapaiannya yang memadamkan rekod dunia para 7.35 meter sebanyak tiga kali dalam laluannya untuk meraih pingat emas Paralimpik 2016. Dia melakukan lompatan 7.47m pada percubaan pertama, diikuti 7.54m sebelum melengkapkan kejayaannya dengan jarak 7.60m.

Kejayaannya itu dianggap oleh panel pemilih mengatasi penca­paian tiga pesaing terdekatnya iaitu pemenang perak badminton perseorangan Sukan Olimpik 2016, Chong Wei dan Azizul yang memenangi gangsa acara keirin. Chong Wei merupakan pemenang empat kali anugerah ini manakala Azizul pernah memenanginya dua kali.

Turut mencipta kejutan apabila srikandi silat negara Siti Rahmah mengatasi pemenang 2011, 2012 dan 2015 iaitu Pandelela Rinong Pamg yang memenangi perak dalam acara platform 10 meter terjun seirama di Rio, selain tiga lagi pencabar Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (boling) dan Tan Li Lian (bina badan).

Atlet kelahiran Terengganu berusia 30 tahun itu cemerlang setelah meraih gelaran juara dunia ketiganya dalam Kelas Putri E Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali pada Disember lalu.

“Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi de­ngan pengurniaan anugerah ini. Ini tahun kedua berturut-turut sukan silat menang anugerah utama.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada emak dan keluarga saya. Presiden Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia), Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Pengurus Besar, Datuk Osman Nok, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan Cikgu Nasri Nasir, guru-guru dan semua warga silat yang sentiasa menyokong kami,” kata Siti Rahmah.

Turut menjadi rebutan dalam majlis penyampaian ASN 2016 di Shangri-La Kuala Lumpur di ibu kota adalah Olahragawati Para­limpik Kebangsaan yang diraih atlet lompat jauh T20, Siti Noor Radiah Ismail, manakala Olahragawan Paralimpik Kebangsaan ditiadakan berikutan kejayaan Latif merangkul anugerah utama.

Kejayaan atlet para dalam temasya di Rio turut membantu jurulatih olahraga Paralimpik negara R. Jaganathan dipilih sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan, sementara Chin Eei Hui memenangi anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan menerusi sukan badminton.