Larian bersejarah tersebut diadakan serentak dengan program FitMalaysia Kelantan 2017 dan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Mod Nadzri Yaacob.

Menurut Awang Adek, sambutan luar biasa itu menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Kelantan terhadap Sukan Sea Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, bulan depan.

Katanya, seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang sentiasa berada di belakang atlet yang bakal berjuang dalam temasya sukan terbesar rantau ini tersebut.

"Kami mendoakan atlet Malaysia terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dan mengulangi pencapaian Malaysia yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah 16 tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Islam Kelantan, Datuk Dr. Ilias Husain yang mengetuai Larian Obor KL2017 menyerahkan obor ikonik berkenaan kepada Awang Adek.

Larian Obor Sukan SEA KL 2017 peringkat Kelantan dijadual berakhir di Pasir Puteh sebelum diserahkan kepada wakil Terengganu di Besut.

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini, manakala edisi kesembilan Sukan Para ASEAN diadakan dari 17 hingga 23 September.