Mat Sport
Mat Sport

Ini bermakna hanya atlet yang bersih daripada tabiat me­rokok akan terus berada dalam program elit itu untuk memastikan prestasi mereka sentiasa berada di tahap terbaik.

Sebagai peminat sukan tanah air Mat amat menyokong usaha Institut Sukan Negara (ISN) dan Program Podium berhubung isu rokok ini kerana tiada siapa yang menyokong rokok dalam sukan di negara ini.

Mat dengar sudah ada atlet yang mula cemas apabila Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi meng­umumkan syarat tambahan untuk mewajibkan atlet Program Podium menjalani ujian saringan mengesan perokok.

Mereka cemas kerana takut tertangkap dan tidak dibenarkan menyertai Program Podium sekali gus tidak mendapat segala kemudahan terbaik serta elaun yang tinggi.

Pemain-pemain sepak takraw yang ketika ini berada dalam Program Podium adalah antara yang dikatakan mula ketar lutut.

Bukan mahu menuduh tetapi ada yang melihat dan me­ngadu kepada Mat bahawa ramai pemain sepak takraw merokok.

Merokok di belakang Stadium Titiwangsa tanpa segan silu walaupun diperhatikan oleh orang awam selepas tamat acara mereka sewaktu Sukan SEA Ke-29 adalah antara aduan yang diterima.

Ini bukan contoh terbaik dalam sukan untuk mempamerkan budaya sihat di negara ini.

Dalam hal ini, atlet dan pemain tidak boleh dipersalahkan seratus peratus sebaliknya badan induk terlibat harus juga bertanggungjawab kerana tidak menguatkuasakan lara­ngan merokok dalam kalangan atlet mereka secara serius serta menyeluruh.

Jika semua badan induk mula menguatkuasakan larangan merokok kepada atlet mereka iaitu menyingkirkan daripada kem latihan pusat andai didapati merokok maka peratus atlet merokok dapat dikurangkan.

Semua tahu merokok akan membataskan stamina kerana mengganggu sistem paru-paru dan mungkin ini juga salah satu sebab mengapa sepak takraw sukar meraih kecemerlangan.