Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, laporan bahawa tilam usang, lokar pecah dan bilik air tidak boleh digunakan oleh atlet di ILP tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, sebaliknya tiada isu kerana tiada rungutan atau aduan daripada pengurus pasukan atau atlet badminton Kelantan yang menginap di ILP.

"Isu yang dilaporkan tidak benar malah siasatan oleh pihak pengurusan mendapati atlet dan jurulatih kontinjen di ILP berpuas hati.

"Malah dalam mesyuarat dengan semua ketua kontinjen semalam, tiada yang membangkitkan isu penginapan tidak selesa," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Sukma, di sini hari ini.

Chuan How mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai penginapan keadaan penginapan atlet badminton Kelantan di ILP yang didakwa uzur menyebabkan atlet terlibat tidak berpuas hati.

Mengenai laporan bahawa tilam yang digunakan atlet di ILP berada di atas lantai, Chuan How berkata, keadaan itu disebabkan atlet sendiri yang menurunkan tilam tersebut.

"Tujuannya ialah atas dasar solidariti untuk mereka tidur bersama-sama manakala lokar yang dikatakan pecah, berfungsi dengan baik," katanya.

Beliau menyifatkan mereka yang menyebarkan perkara itu sehingga membawa kepada penyiaran berita tersebut di akhbar sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, sehubungan itu penganjur meminta tiada lagi sebarang spekulasi mengenai penularan gambar keadaan di tempat penginapan atlet Sukma.

"Kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen seratus peratus dalam memastikan keselesaan dan keselamatan atlet dan kontinjen," katanya. - UTUSAN ONLINE