Atlet kelahiran Caracas, Vanezuela itu memiliki dua kerakyatan iaitu Sepanyol dan Vanezuela. Mula melibatkan diri dalam sukan tenis seawal usia enam tahun di Akademi Tenis Bruguera Barcelona sebelum menjadi pemain profesional pada 2012.

Selain kecemerlangan dalam sukan tenis, Muguruza sangat aktif di laman sosial, menjadikannya antara selebriti yang cukup dikenali di luar gelanggang.

Sikap cerianya selain kepandaian berinteraksi di laman sosial menjadikannya sangat popular dalam tempoh yang singkat selain berjaya menarik nama-nama besar untuk bekerjasama dengannya selaku penaja.

Sebelum namanya meningkat naik dalam sukan tenis, pemain Sepanyol itu sudah pun menjadi duta kepada jenama kenderaan Eropah, Mazda di Sepanyol pada 2014 selain BBVA Bank pada tahun yang sama ekoran popularitinya di dalam media sosial.

Kejayaan di dalam gelanggang turut memainkan peranan penting kepada dirinya sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk kemasukan penaja baharu termasuk jenama pakaian Adidas Barricade by Stella McCartney dan Muguruza penah muncul di muka hadapan majalah Elle di Sepanyol.

“Kehadiran jenama besar untuk bekerjasama dengan awak adalah sesuatu yang sangat bermakna dan ia merupakan bukti kepada kejayaan awak semasa di dalam gelanggang.

“Saya sangat gembira apabila Mazda menjadi jenama pertama yang berminat untuk bekerjasama dengan saya di luar gelanggang dan saya berharap kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang,” kata Muguruza.

Selain Mazda dan Adidas, Muguruza mendapat penajaan daripada pengeluar barangan sukan terkemuka, Babolat dan pengeluar cermin mata yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Maui Jim.

Kejayaan itu juga menyaksikan dia meraih kekayaan sekitar AS$13 juta (RM56 juta) dengan pendapatan tahunan serta hadiah pertandingan tahunan sekitar AS$4.5 juta (RM19 juta).

Kebijaksanannya menggunakan laman sosial seperti Twitter dan Instagram melonjakkan nilai komersial dirinya yang kini dianggarkan sekitar AS$22 juta (RM94 juta), membolehkannya berdiri sebaris dengan bintang Sepanyol lain termasuk David Ferrer, Rafael Nadal, Sergio Garcia dan Iker Casillas. – AGENSI