Hafifi, 26, yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2014 dalam kategori 69 kilogram disahkan mengambil bahan jenis Oxymetholone (S1.1 Anabolic Ejen) iaitu dadah perangsang yang dikatakan bertujuan untuk membina otot.

Badan dunia itu dalam satu pemberitahuan umum yang dikeluarkan di laman web rasmi mereka hari ini memberitahu: “IWF melaporkan bahawa sampel Mohd. Hafifi Mansor dari Malaysia didapati mengandungi bahan terlarang Oxymetholone (S1.1 Anabolik Ejen).

“Akibatnya, atlet itu digantung sementara kerana berpotensi melakukan pelanggaran dalam peraturan antidoping”.

Menurut IWF lagi, seandainya atlet berkenaan tidak melanggar peraturan antidoping, tindakan susulan akan diambil dan keputusan bakal diumumkan dalam laman web mereka.

“Sehingga kes itu belum selesai, WIF tidak akan mengeluarkan kenyataan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.

Berita ini pastinya memberi tamparan hebat buat sukan tanah air selepas 10 hari lalu, penerjun wanita negara disahkan mengambil dadah jenis Sibutramine yang bertujuan menurunkan berat badan, dan atlet berkenaan kini masih menunggu hasil ujian sampel B yang dilakukan di New Delhi, India.

Hukuman bagi kesalahan dadah jenis Oxymetholone biasanya lebih berat berbanding Sibutramine. - UTUSAN ONLINE