Sumber rapat dengan pentadbiran sukan negara mendakwa atlet wanita yang kini menerima bim­bi­ng­­an seorang bekas jaguh lari jarak sederhana itu telah didapati positif untuk sampel A ujian air kencing­nya.

Ketua Unit Agensi Antido­ping Malaysia (Adamas), Nishel Kumar yang dihubungi pula berkata, pihaknya kini sedang menunggu keputusan ujian ke atas sampel B air kencing atlet itu.

“Ya. Memang benar kami telah melakukan saringan ujian air ken­cing terhadap salah seorang peserta yang mengambil bahagian dalam Maraton KL dan ujian itu didapati positif.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan kini sedang menunggu keputusan ujian sampel B.

“Bagaimanapun mengenai perkara ini, saya fikir KOM lebih berhak untuk menentukan kesahihannya,” katanya apabila dihubu­ngi Utusan Malaysia semalam.

Nama atlet wanita itu belum boleh didedahkan selagi tidak disahkan oleh KOM yang menunggu keputusan ujian air kencing sampel B dikeluarkan.

Sekiranya keputusan ujian sampel B atlet itu juga positif, ini menjadikan atlet negara yang gagal ujian dadah tahun ini berjumlah enam orang, termasuk jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei yang kesnya akan dibicarakan tidak lama lagi didapati positif dadah jenis dexame­thasone ketika menyertai Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lalu.

Pada Mei lalu tiga atlet muda gagal dalam ujian air kencing sewaktu menyertai Sukan Malaysia di Perlis. Mereka adalah atlet berbasikal, Dhia Danial Mohd. Kharil dari Wilayah Persekutuan, Siti Fazera Ishak dari Perlis (angkat berat 75 kg) dan Jelinie dari Sarawak (angkat berat 75 kg).

Arena sukan negara terus gempar dengan isu dadah apabila atlet wusyu negara Tai Cheau Xuen turut gagal dalam ujian air kencing ketika mewakili negara dalam Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September lalu.