Kyrgios, yang diletakkan sebagai pilihan kelima pada kejohanan di Moscow itu, sepatutnya bakal berdepan pemain Bosnia-Herzegovina, Mirza Basic.

“Maaf semua, saya tidak dapat bermain hari ini, sangat malang saya terpaksa berdepan dengan kecederaan siku yang berulang.

“Kecederaan ini mula mengganggu saya minggu ini. Saya terpaksa memilih untuk menamatkan musim ini dan pulang ke tanah air. Saya akan memulakan proses pemulihan dan jumpa anda pada 2019,” katanya kepada laman web pertandingan https://kremlincup.ru.

Masalah kecederaan berulang yang menimpa Kyrgios menyaksikan anak muda berusia 23 tahun itu sekali lagi terpaksa menamatkan musimnya dengan kekecewaan, selepas ranking ATP jatuh ke tangga ke-37.

Dia memulakan kariernya tahun ini dengan merangkul gelaran pertama di tanah airnya, Brisbane dan mempamerkan persembahan mantap pada Terbuka Australia di mana Kyrgios berjaya mara sehingga ke peringkat 16 terbaik.

Kecederaan memaksa Kyrgios melupakan Terbuka Perancis, sementara sewaktu menyertai Terbuka Amerika Syarikat dia terbabit dalam insiden pelik apabila diberi kata-kata semangat oleh pengadil perlawanan, Mohamed Lahyani ketika menewaskan pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert di pusingan kedua. - REUTERS