IRFAN BAKTI ABU SALIM
IRFAN BAKTI ABU SALIM

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, walaupun mutu persembahan barisan pemainnya di tahap terbaik dengan serangan bermati-matian sepanjang perlawanan tetapi peluang yang ada itu tidak dimanfaatkan.

Katanya, situasi itu sekali gus memberi kelebihan buat skuad Harimau Selatan untuk meledak gol tunggal menerusi Marcos Antonio Santos pada minit ke-29.

"Saya kecewa kita tidak menggunakan peluang yang ada dgn JDT, gol yang dijaringkan itu benar-benar terjadi sebagaimana yang saya beritahu pada mereka semasa taklimat supaya jangan ada ruang kosong.

"Yang itulah saya maksudkan kurang konsentrasi seperti dalam taklimat kerana apabila kita bermain dengan orang cerdik, kita perlu melipatgandakan kecerdikan kita.

"Bagi saya pemain tidak tertekan cuma ada  yang 'ball conscious' walaupun ketika di depan gol, tetapi tidak mengapa kerana kita akan belajar daripada kesilapan ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Kemenangan ke atas tuan rumah itu membolehkan JDT kembali merampas kedudukan takhta Liga Super daripada PKNS FC menerusi tiga mata penuh yang dibawa pulang.

Dalam babak kedua, usaha TFC1 untuk menyamakan kedudukan terus menemui jalan buntu apabila, pemain sayapnya, Mohd. Shahrul Aizad Zukufli gagal memanfaatkan peluang terhidang apabila sepakannya tersasar walaupun pintu gol pelawat telah terbuka pada minit ke-49.

Keputusan 0-1 kekal hingga tamat perlawanan, mencatat
 kekalahan sulung TFC1 musim ini.

Irfan Bakti memberitahu, tumpuan selepas ini adalah untuk aksi Liga FA menetang Selangor pada Jumaat ini.

"Kemenangan 4-1 sebelum ini sudah jadi sejarah maka kita kena terus berusaha bagi mencapai sasaran mara ke final, iaitu selangkah ke hadapan berbanding prestasi tahun lalu," katanya.

Sementara itu, pengendali JDT, Raul Longhi mengakui Terengganu memiliki kekuatan tersendiri yang sedikit sebanyak menyukarkan laluan anak buahnya hingga tamat perlawanan.

"Tiga mata penuh ini amat penting dan kami gembira dengan kemenangan yang dicipta," katanya.-UTUSAN ONLINE