Kata Mohd. Poad, dia masih memerlukan masa untuk menilai prestasi keseluruhan pelari yang berada dalam kuartet tersebut kerana hanya akan menyenaraikan atlet terbaik bagi mengharungi cabaran KL2017.

Tambah Mohd. Poad, ketika ini dia gembira dengan prestasi dipamerkan oleh anggota kuartet tersebut iaitu Haikal Hanafi, Johnathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan.

“Saya memang sudah menjangkakan bahawa kuartet ini akan mencipta rekod baharu kebangsaan namun kesemua mereka akan dinilai semula sebelum senarai akhir diputuskan.

“Dalam masa sama saya percaya mereka ini mampu berlari lebih pantas lagi daripada sekarang.

“Selepas ini tiada kejohanan selain KL2017 yang bakal bermula 19 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, kuartet lelaki negara mencatat 39.62 saat untuk memecah rekod 4x100m lelaki kebangsaan sewaktu memenangi pingat emas Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam.

Catatan tersebut memadam rekod lama 39.67s yang dilakukan dalam Sukan SEA 2015 di Singapura.

Pencapaian yang ditunjukkan kuartet negara di Vietnam juga adalah satu peningkatan positif kerana dalam Kejohanan Asia di India bulan lalu mereka mencatat masa 39.98s.

Ketika ini catatan dilakukan kuartet negara itu 39.62s membolehkan Malaysia berada di ranking ketiga terbaik rantau Asia Tenggara dalam acara 4x100m bagi musim ini.

Ranking pertama milik kuartet Indonesia dengan catatan 39.13s dilakukan pada April lalu, manakala Thailand di tempat kedua mencatat 39.38s pada awal bulan ini.

Dalam Sukan SEA 2015, pemenang pingat emas acara 4x100m lelaki, Thailand mencatat masa 38.99s manakala pingat perak milik Singapura 39.24s dan Indonesia meraih gangsa dengan 39.32s.