Pilihan kedua Elina Svitolina dari Ukraine turut terkandas dalam perlawanan yang berlangsung di Edgbaston Priory Club, Birmingham selepas tewas mengejut dalam permainan yang diheret hingga ke set ketiga oleh pemain Itali yang beraksi di pusingan kelayakan, Camila Giorgi.

Vandeweghe, yang mendapat bimbingan daripada bekas juara Wimbledon dari Australia, Pat Cash, mendominasi sepanjang set pertama menerusi servis kencangnya yang gagal ditangani dengan baik oleh pilihan keempat Konta setelah aksi tersebut hanya berlangsung dalam tempoh 24 minit.

Konta, pemain No. 7 dunia, berjaya memperbaiki persembahannya dalam set kedua, tetapi dia tidak pula menunjukkan sebarang tanda kebangkitan menentang pemain berusia 25 tahun Vandeweghe, yang pernah mara sehingga ke suku akhir pada Wimbledon 2015.

“Saya amat gembira dengan cara saya bersaing. Saya fikir ia merupakan perkara paling penting. Saya bersedia untuk bertarung sejak dari awal perlawanan lagi dan itu juga yang anda mahukan, melakukan serangan dan bergerak dengan baik. Saya berjaya melakukannya hari ini.

“Saya telah memaksa lawan memberikan mata dalam permainan servis saya, itu memang fokus saya. Saya rasa dalam set kedua perlawanan mula seimbang,” kata pemain Amerika Syarikat (AS) itu.

Vandeweghe bakal berdepan Garbine Muguruza pada suku akhir, selepas bintang tenis Sepanyol itu meraih kemenangan 6-1, 6-4 ke atas seorang lagi pemain AS, Alison Riske.

Giorgi pula yang menundukkan Svitolina 6-4, 4-6, 6-2 berkata, dia ditimpa masalah kesakitan di bahagian kakinya. Pemain Itali berusia 25 tahun itu akan beraksi menentang Ashleigh Barty dari Australia di peringkat lapan terbaik.

Pilihan kelima dari Perancis, Kristina Mladenovic dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan wakil China, Zhang Shuai 6-4, 7-6 (3) dan merakam pertembungan menarik dengan pemain Republik Czech, Petra Kvitova di suku akhir. – REUTERS