Bagaimanapun, Kesatuan Olah­raga Malaysia (KOM) yakin pengguguran atlet berusia 29 tahun dari Perak itu tidak akan menjejaskan sasaran pingat emas.

Keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu bermakna menyaksikan jumlah atlet olahraga yang bakal bersaing dalam KL2017 ber­kurangan kepada 65 atlet berbanding sebelum ini 66.

Pengurus pasukan olahraga negara bagi KL2017, Datuk Salim Parlan berkata, keputusan menggugurkan atlet tersebut terpaksa dibuat oleh KOM demi menjaga keharmonian dalam persiapan menghadapi KL2017.

Bagaimanapun, Salim enggan mendedahkan secara terperinci masalah disiplin yang menjadi punca Komalam digugurkan.

“Sebelum keputusan dibuat pihak KOM telah berbincang secara terperinci selepas mendapat aduan daripada pelbagai pihak malah menggugurkan Komalam juga tidak akan mengganggu persiapan pasukan olahraga kerana tiada sandaran pingat emas di­sandarkan kepada dia.

“Kami cuba untuk tidak mendiamkan perkara ini kerana keputusan telah dibuat pada awal bulan ini namun akhirnya tetap diketahui oleh media.

“Untuk menggugurkan seseorang atlet dalam kontinjen, ada beberapa perkara perlu dinilai iaitu melibatkan prestasi, kece­deraan dan disiplin. Kebiasaannya atlet digugurkan di saat akhir kerana kecederaan dan amat jarang disingkirkan kerana masalah disiplin.

“Kami mahu perkara ini menjadi pengajaran kepada atlet olahraga lain agar menjaga disi­plin mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pendengaran jawatankuasa bebas yang dipengerusikan oleh Naib Pre­siden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib berhubung isu Komalam di Majlis Sukan Negara, sini, hari ini.

Difahamkan keputusan menggugurkan Komalam dibuat ke­rana atlet tersebut didakwa tidak menghormati jurulatih.

Ketiadaan Komalam bermakna kuartet 4x100m yang me­­­megang rekod ke­bangsaan dengan cata­tan 45.18 saat dalam Kejohanan Olahraga Asia di India pada 10 Julai lalu itu akan dibarisi oleh Shereen Samson Vellabouy, Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nurul Faizah Asma Mazlan.

Pengugguran Komalam juga bermakna kini hanya tinggal Zaidatul Husniah sahaja yang bakal mewakili negara dalam acara 200m. Zaidatul juga akan bersaing dalam acara 100m.

Kuartet 4x100m negara, walaupun memperbaharui rekod kebangsaan di India bulan lalu, tidak diletakkan harapan untuk memenangi pingat emas. Thailand dan Vietnam menjadi pilihan utama dalam acara itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau menyerahkan kepada pihak persatuan mengenai isu Komalam.

“Keputusan yang dibuat adalah mengikut saluran yang be­tul dan saya tidak akan masuk campur berkaitan isu itu kerana sebarang keputusan dibuat terserah kepada persatuan ma­sing-masing.

“Saya juga telah mendapat penjelasan daripada pihak persatuan dan telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa, cuma alasan menggugurkannya saya tidak boleh beritahu (media di sini) tetapi terpulang kepada pihak persa­tuan sama ada mahu meng­umumkan kepada umum atau tidak,” kata­nya kepada wartawan selepas Majlis Pe­lancaran Lagu Tema Su­kan SEA dan Se­ribu Patung Rimau.