Lebih mencuri tumpuan adalah rekod 20 tahun milik Elvin Chia dalam acara 200m kuak dada, 2 minit 19.17 saat dipa­damkan oleh perenang Selangor, Daniel Lim selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 2:19.12s, sekali gus merangkul pingat emas.

Perak dan gangsa menjadi milik perenang Johor, Wong Fu Kang (2:19.29s) dan Ng Shijie dari Selangor (2:25.13s).

Daniel, perenang kacukan Scotland berusia 20 tahun itu mengakui, dia telah melakukan catatan lebih baik ketika beraksi pada Terbuka Malaysia tahun lalu, namun tetap berbangga kerana dapat memahat nama sebagai pencipta rekod baharu Sukma.

“Sebenarnya saya mempunyai masa lebih baik iaitu 2: 19s yang dilakukan pada Terbuka Malaysia tahun lalu, tetapi saya tetap gembira apabila menjadi salah seorang pemegang rekod kejohanan.

“Saya akan terus berusaha dengan lebih keras untuk menjadi lebih pantas dan berharap mampu memecah rekod kebangsaan sebelum Sukan SEA tahun depan,” katanya yang telah meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam penampilan pertamanya di temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, dalam acara 100m kupu-kupu lelaki, Chan Jie turut memperbaharui rekod kejohanan miliknya yang dilakukan pada 2014 iaitu 55.04s kepada catatan 54.44s untuk meraih emas.

Perak milik rakan sene­gerinya, Tan Yun Hung (55.44s) manakala gangsa dimenangi oleh perenang Wilayah Persekutuan (WP), Keith Lim (55.96s).

Dalam pada itu, menerusi acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki, pasukan Selangor, yang diketuai oleh Daniel turut mencipta rekod baharu kejohanan dengan masa 7:43.67s (7:47.31s) untuk meraih emas.

Pada hari keempat acara renang, Selangor mengungguli kutipan pingat dengan 16 emas, 12 perak dan lapan gangsa diikuti Sarawak di tempat kedua, enam emas, tiga perak dan dua gangsa.