Sehingga hari ini, masih ramai yang memperkatakan tentang kehebatan upacara yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu itu, terutama penggunakan teknologi canggih serta kreativiti pengarah tempatan, Saw Teong Hin yang membuatkan penonton seperti menonton wayang tiga dimensi.

Bagaimanapun, di sebalik upacara pembukaan yang cukup gah dan pencapaian kontinjen negara yang amat memberangsangkan setakat ini, banyak cerita kurang enak kedengaran mengenai penganjuran temasya yang kali pertama diadakan di Malaysia selepas 16 tahun.

Paling mencuri tumpuan isu cetakan bendera Indonesia yang terbalik dalam buku khas cenderamata KL2017 yang mendorong Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bertemu rakan sejawatannya, Imam Nahrawi memohon maaf bagi pihak Malaysia kepada seluruh rakyat Indonesia.

Isu itu timbul beberapa hari selepas skuad bola sepak wanita Myanmar berdepan masalah pengangkutan untuk pulang ke hotel penginapan sebaik sahaja tamat aksi menentang Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam.

Bas dikatakan tiba lewat sehingga Myanmar terpaksa menunggu hampir sejam sebelum bertolak pulang, malah apa yang mengejutkan pemandu juga dikatakan mempunyai rekod polis. Namun, isu itu segera ditangani Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc) yang kemudian mengeluarkan kenyataan tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan.

Beberapa rungutan turut diluahkan kontinjen lain seperti kelewatan pengangkutan tiba di lapangan terbang hingga menyebabkan atlet menunggu terlalu lama, selain insiden mereka dibawa ke hotel penginapan yang salah.

Selepas tiga hari temasya dibuka secara rasmi kelmarin, rungutan masih kedengaran di venue utama seperti Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil serta MITEC.

Di MITEC, masalah yang dibangkitkan adalah kesukaran media mendapatkan maklumat pertandingan apabila pegawai yang diletakkan di bahagian teknikal kurang cekap.

Bayangkan petugas di MITEC, yang menempatkan Pusat Media Utama sendiri berdepan kesukaran untuk mendapatkan keputusan serta jadual terkini, inikan pula di venue lain. Laman web rasmi yang disediakan bagi memudahkan orang ramai dan media mengetahui perjalanan setiap acara juga tidak efisien.

Di Bukit Jalil, talian internet tidak stabil menyukarkan media menjalankan tugas, malah ketidakcekapan sukarelawan menyulitkan lagi keadaan.

Kebanyakan sukarelawan bukan sahaja kurang arif dengan peranan masing-masing, malah lebih banyak memenuhi bilik media berbanding media sendiri kerana tidak sanggup berpanas.

Secara keseluruhan penganjuran KL2017 adalah baik dan Masoc telah bekerja keras bagi memastikan temasya berjalan lancar, jadi jangan biarkan masalah seperti ini merosakkan usaha bertahun-tahun.

Diharap pihak terbabit mengambil serius segala rungutan dan segera mencari jalan untuk penyelesaian.

Pastikan KL2017 meninggalkan memori indah buat semua yang terlibat, terutama atlet, media serta peminat sukan di seluruh rantau Asia Tenggara.