Mat Sport
Mat Sport

Daripada sembilan emas Sukan SEA Laos 2009, prestasi perenang kita semakin menurun sepanjang empat temasya berikutnya.

Hanya lima emas dibawa pulang dari Indonesia 2011, empat emas di Naypyidaw 2013, tiga emas di Singapura 2015 dan angka itu statik di Kuala Lumpur 2017 (tidak termasuk renang perairan terbuka).

Sejak menggantikan rakan senegara dari Australia, Gavin Urquhart pada 2008, begitu terhad sekali bakat-bakat baharu renang negara yang dapat diketengahkan Paul.

Hanya Welson Sim dan Phee Jinq En yang menyumbangkan tiga emas di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada temasya itu, Ogos lalu sedangkan renang menawarkan 38 acara.

Itu pun skuad renang kita dikatakan hanya menurunkan perenang secara tangkap muat atau sekadar melengkapkan penyertaan selaku tuan rumah. Macam kata orang putih, just to fill in the blanks.

Malah hanya Welson yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio 2016, mewakili perenang tunggal yang menyertai Program Podium (misi 10 teratas Sukan Asia dan Komanwel 2018).

Apabila Welson dan Jinq En melanjutkan pengajian ke luar negara, siapa yang akan terus memantau segala program latihan mahupun prestasi mereka?

Adakah Paul juga kerap turun memantau pembangunan perenang-perenang bakat baharu di seluruh negara dan berkomunikasi dengan jurulatih negeri ahli-ahli gabungan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM)? Pernahkah dia beritahu bagaimana program akar umbi di situ yang patut diselarikan ke arah melahirkan perenang elit?

Apa terjadi kepada perkembangan renang di negeri-negeri selain Kuala Lumpur dan Selangor selaku pengeluar utama bakat baharu sukan program Olimpik ini? Sejauh mana pula penglibatan dan saingan Sarawak, Pulau Pinang atau Perak?

Sesuatu yang drastik juga perlu dilakukan terhadap struktur kejurulatihan renang kita. Paul kini hanya dibantu oleh Li Zhong dari China dan Jeffrey Ho, jurulatih tempatan dari Sarawak.

Khabarnya kedua-dua penolong Paul ini jarang sekali diberi kepercayaan untuk membimbing perenang-perenang negara dalam pertandingan antarabangsa kecuali peranan mereka dihadkan kepada merakamkan masa atau mengendalikan sesi pemanasan badan atlet sahaja.

Pengkhususan atlet renang juga wajar ditekankan segera. Yang perenang jarak dekat tidak boleh dicacamarbakan dengan jarak jauh apatah lagi dalam program latihan mereka.

ASUM kenalah kenal pasti dan fokuskan siapa perenang pakar gaya bebas, kuak lentang, kupu-kupu, dada dan rampaian. Jangan lagi cepat buat sasaran tinggi, biarlah kita ambil masa sedikit untuk menikmati hasilnya tetapi jangan pula sampai terleka seperti tempoh khidmat Paul itu.