Bintang penyerang Barcelona itu kelihatan terhincut-hincut ketika meninggalkan padang latihan di Nizhny Novgorod akibat kecederaan kaki kanan.

Suarez kemudian meneruskan latihan, namun insiden itu meresahkan Ketua Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez berharap tiada musibah baharu melanda pasukannya menjelang pertemuan dengan Les Bleus.

Cavani yang meledak dua gol ketika Uruguay membenam Portugal 2-1 pada pusingan 16 akhir masih bergelut dengan masalah hamstring dan hanya melakukan latihan di gimnasium.

Ujian imbasan menunjukkan tiada koyakan otot berlaku, tetapi peluang bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu untuk diturunkan di Stadium Nizhny Novgorod masih 50-50.

Gambar terbaharu sesi latihan skuad Uruguay menunjukkan Cavani masih berperang dengan kesakitan dua hari selepas perlawanan menentang Portugal dan mengalami kesukaran untuk menuruni tangga.

“Saya sentiasa berharap agar kesakitan ini pulih, namun pada satu tahap saya juga merasakan ia mungkin tidak sempat pulih.

“Saya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan saya dapat diturunkan bersama rakan-rakan yang lain,” kata Cavani.

Sewaktu menentang Portugal, Cavani diganti dengan penyerang Middlesbrough, Cristhian Stuani, 31 yang telah menjaringkan 19 gol La Liga bersama Girona pada musim lepas.

Seandainya Cavani tidak cergas sepenuhnya, Tabarez mungkin terpaksa memasukkan Stuani atau pemain muda, Maxi Gomez, 21 tahun yang telah menjaringkan 18 gol buat Celta Vigo. – AGENSI