Piala Dunia Rusia kali ini telah menyaksikan sekurang-kurangnya empat 'kuasa besar' bola sepak dunia tumbang 'dimakan' pasukan kerdil. Bermula dengan Jerman di pusingan kumpulan, seterusnya Argentina, Portugal dan yang terbaharu Sepanyol juga menjadi mangsa.

Keputusan yang ditunjukkan itu ternyata memberi impak dan lebih tekanan kepada pasukan berstatus bintang lain. Namun itu nampaknya tidak berlaku kepada juara dunia lima kali, Brazil.

Membariskan kesebelasan yang sama seperti dua perlawanan sebelum ini kecuali kehilangan Marcelo sebagai pertahanan kiri yang digantikan dengan Filipe Luis, Selecao dilihat tanpa ada masalah mengadunkan bola sepak dan Samba.

Gaya permainan menyerang yang menarik dan lebih tersusun berbanding pasukan lain, Brazil juga bijak mengeksplotasi bahagian tengah Mexico diketuai jeneral veteran, Rafael Marquez sekali gus mengecewakan bintang yang meraih penampilan ke-146 bersama El Tri.

Walaupun begitu, Brazil bermula agak perlahan dalam separuh masa pertama ditambah pula dengan rentak permainan pantas Mexico yang mahu mencari gol awal menerusi rangkaian Carlos Vela - Chicharito - Hirving Lozano.

Cuma nasib Brazil agak baik kerana 'dikurniakan' barisan pertahanan yang cukup kental dan berpengalaman sekali gus menutup peluang Mexico mendapatkan gol. Sejak Tite mengambil alih, beliau telah berjaya 'mendisiplinkan' pertahanan hinggakan hanya melepaskan satu gol sahaja sepanjang kempen Piala Dunia kali ini

Gaya permainan Mexico yang segera menutup ruang saat Brazil mengatur langkah pula menggagalkan pemain tengah Brazil terutama Phillipe Coutinho dan Paulinho untuk melorongkan bola kepada bahagian serangan sehingga terpaksa berulang kali menggunakan pemain sayap iaitu Willian dan Neymar untuk merencana serangan.

Namun semuanya berubah apabila memasuki babak kedua. Jika pada separuh masa pertama Neymar dan Willian 'dikunci' ketat oleh pemain Mexico tetapi kelicikan dua pemain tersebut tidak dapat dibendung.

Hanya kecekapan penjaga gol, Guilhermo Ochoa yang meneruskan kecemerlangannya semasa Piala Dunia 2014 sahaja dilihat menyekat Brazil daripada menjaringkan lebih banyak gol.

Walaupun Willian tampak kekal di sebelah kanan dan sesekali bertukar posisi ke kiri, Neymar pula diberi lebih banyak kebebasan sehingga menyukarkan pemain Mexico mengawalnya.

Berbeza dengan Willian yang lebih memberi tumpuan kepada perlawanan dengan skill menarik, selain daripada menjaringkan gol, Neymar hanya diingati dengan insiden 'drama'.

Sering kali 'disisihkan' dalam perdebatan pemain terbaik dunia melibatkan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, Neymar seharusnya menunjukkan kepada dunia untuk 'lebih serius' menghayati bakat yang dimiliki berbanding pelbagai drama 'telenovela' atas padang yang disajikannya.

Gerakan semasa gol kedua itulah yang patut ditunjukkan Neymar apabila melepasi perangkap ofsaid dan menggunakan kelajuannya untuk mengumpan Roberto Firmino menghasilkan gol.

Selecao kini hanya tinggal dua langkah sebelum ke final dan mengecapi kejayaan Piala Dunia yang kali terakhir didakap pada tahun 2002. Mungkinkah Belgium atau Jepun bakal menjadi mangsa Brazil seterusnya? Pastinya menarik untuk disaksikan. - UTUSAN ONLINE