Selain bersorak gembira, mereka membunyikan hon kereta dan mengibarkan bendera negara secara beramai-ramai sebagai meraikan kejayaan muncu juara dunia untuk kali kedua selepas 1998.

Malah ketika perlawanan berlangsung, kegembiraan mula terpancar setiap kali Perancis berjaya menjaringkan gol dan suasana itu dapat dirasai di setiap pelosok dan ceruk negara tersebut selepas 20 tahun tidak merasainya.

Apabila wisel penamat dibunyikan, kira-kira sejuta orang dilaporkan mula berpesta di tengah ‘kota raya cinta’ ini hingga awal pagi.

“Tahun 1998 adalah satu keajaiban. Malam ini anak lelaki saya dapat merasai apa yang sama saya lalui 20 tahun lalu,” kata Eric Rodenas, 42, yang diiringi anak lelakinya, Raphael yang sanggup datang dari jauh untuk menyertainya berpesta di Champs Elysees di sini.

Walau bagaimanapun pesta itu turut mengundang masalah apabila banyak berlaku kemalangan jalan raya selain penyokong mula bertindak liar termasuk bertempur dengan pihak polis dan memecahkan cermin kedai.

Pesta rakyat Perancis ini dijangka berterusan apabila skuad Perancis melakukan perarakan menuju ke kediaman presiden, Emmanuel Macron di Istana Elysee pada petang Isnin. – AFP