Kemenangan The Three Lions ke atas Colombia menerusi penalti penentuan bakal menyaksikan skuad bimbingan Gareth Southgate berdepan Sweden yang turut mara selepas menewaskan Switzerland 1-0.

Kedua-dua pasukan berada di bahagian bawah undian bersama tuan rumah Russia dan Croatia dengan England menjadi satu-satunya pasukan yang pernah bergelar juara dalam kalangan empat pasukan berkenaan.

Kelompok atas undian tampak lebih sukar apabila dibarisi juara 1998 Perancis yang akan menentang juara dua kali Uruguay dan Brazil berdepan Belgium.

Sepakan penalti terakhir yang diambil Eric Dier memberikan kemenangan pertama kepada The Three Lions menerusi penalti penentuan dalam Piala Dunia sekali gus menamatkan badi yang menghantui mereka sekian lama.

Walau bagaimanapun, Southgate berkata dia sudah tidak sabar untuk mengharungi perlawanan suku akhir menentang Sweden pada Sabtu ini di Samara. Jika menang mereka akan bertemu sama ada Croatia atau Rusia untuk merebut tempat ke perlawanan akhir.

“Ini sangat istimewa tetapi saya mahu pasukan melangkah lebih jauh,” kata Southgate yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika England tewas kepada Jerman dalam separuh akhir Euro 1996 di Wembley.

Belgium hampir menjadi salah satu pasukan pilihan terbaharu yang tersingkir selepas ketinggalan 2-0 ketika waktu permainan berbaki 21 minit namun jaringan kemenangan Nacer Chadli pada minit ke-94 masa kecederaan melengkapkan kebangkitan hebat Red Devils ketika menewaskan Jepun 3-2.

Eden Hazard, Romelu Lukaku, Dries Mertens dan Kevin De Bruyne sudah pasti meresahkan pertahanan Brazil walaupun gergasi Amerika Selatan itu hanya melepaskan satu gol dalam empat perlawanan setakat ini.

“Sudah tentu pertemuan itu akan menjadi perlawanan yang anda idamkan, dan nikmatinya sejak saat pertama bermula,” kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez.

Sementara itu, Perancis kurang menyerlah di peringkat kumpulan tetapi mempamerkan kemampuan sebenar ketika membenam Argentina 4-3 dengan Kylian Mbappe menjaringkan dua gol bagi menempah pertembungan dengan Uruguay.

“Kami bersedia untuk aksi seperti itu sejak sekian lama, ” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Kejayaan Uruguay pula ditunjangi kekuatan bahagian pertahanan diketuai gandingan Jose Gimenez dan Diego Godin yang beraksi dengan Atletico Madrid sambil bahagian serangan menggabungkan ketajaman Luis Suarez dan Edinson Cavani yang menjaringkan lima gol setakat ini.

Tiada pasukan dari Amerika Selatan yang muncul juara di Eropah sejak Pele dan Brazil melakukannya 60 tahun lalu namun Piala Dunia penuh dengan kejutan. AGENSI