Begitupun, reaksi berlebihan yang ditunjukkan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu ketika dikasari oleh pertahanan Mexico, Miguel Layun lebih mendapat perhatian peminat seluruh dunia.

Akhbar Brazil, Globo dalam tajuk utamanya menulis ‘Neymar mempersona tetapi menjengkelkan seluruh dunia’, sambil menyifatkan tindakan pemain itu merosakkan ‘mood’ skuad Selecao.

Pengendali Mexico, Juan Carlos Osorio turut mengkritik pemain berusia 26 tahun itu, sambil menganggap tindakan pengadil membenarkan permainan dihentikan untuk tempoh yang lama sangat memalukan.

Ketika Mexico ketinggalan 0-1, Neymar yang dikasari Layun pada minit ke-72 kelihatan berguling di atas padang menahan kesakitan buku lali.

Namun, selang beberapa minit kemudian dia kembali berlari dan menyambung permainan, sebelum mencipta gerakan yang membolehkan Roberto Firmino menghasilkan gol kedua Brazil pada minit ke-88.

“Selepas ketinggalan, kami kembali menguasai permainan tetapi ia sangat memalukan apabila perlawanan dihentikan terlalu lama hanya disebabkan seorang pemain.

“Permainan terhenti selama empat minit hanya disebabkan reaksi berlebihan pemain itu, dan ia patut menjadi pengajaran kepada setiap kanak-kanak yang mahu bermain bola sepak,” kata Osorio.

Bekas legenda Manchester United, Eric Cantona turut menyindir pemain itu apabila memuatnaik video dia memutarkan beg pakaian berwarna kuning yang diberi nama ‘Neymar’ sambil berkata: “Anda hampir tidak menyentuhnya, tetapi ia berputar dan berputar selama beberapa jam”.

Neymar bagaimanapun mempertahankan dirinya, sambil menegaskan tindakan Layun tidak menunjukkan semangat kesukanan.

“Dia memijak saya, itu tidak adil. Anda tidak boleh melakukannya. Mereka (Mexico) cakap banyak dan sekarang mereka boleh pulang ke rumah,” kata Neymar.

“Pada akhirnya, itulah bola sepak. Jika dia tidak mahu disentuh mungkin dia patut buat benda lain.

“Jika dia mahu baring dia boleh lakukannya di rumah. Saya hanya menyentuh dia sedikit namun disebabkan saya mahu mengutip bola dia cuba menahan saya,” balas Layun. - AGENSI