Antara yang menjadi tumpuan ramai ialah kafe dan restoran yang menayangkan aksi tersebut menerusi layar gergasi.

Restoran E&Y (Sahul) di Adda Height, dekat sini hampir 2,000 orang memeriahkan pelbagai aktiviti yang diadakan sejak pukul 9 malam.

Peminat bola sepak mula memenuhi pekarangan restoran itu seawal pukul 8 malam bersama-sama rakan dan keluarga masing-masing. 

Pengusaha restoran, Sahul Hameed E. Yaccob berkata, bagi perlawanan akhir malam ini, pihaknya menyediakan dua skrin gergasi untuk pelanggan.

"Pengunjung yang hadir dapat menyertai pelbagai pertandingan menarik yang disediakan, seperti makan roti canai terpantas, tiup belon sampai pecah dan minum air gas terpantas. 

"Pelbagai hadiah menarik menanti untuk dibawa pulang, antaranya televisyen, barangan elektrik dan pakaian sukan," katanya. 

Pihaknya menganjurkan program itu bagi memeriahkan lagi perlawanan akhir Piala Dunia yang berlangsung hanya sekali dalam tempoh empat tahun. - UTUSAN ONLINE