Penyerang itu dikecam peminat kerana gagal menjaringkan gol dalam kejohanan itu tetapi pengurus Didier Deschamps sebelum ini mempertahankannya dan berkata usaha keras Giroud banyak membantu pasukan.

Walaupun gagal menghasilkan gol, Giroud tetap dikekalkan dalam pasukan oleh Deschamps dan penyerang Chelsea itu muncul dalam ketujuh-tujuh perlawanan Perancis.

“Sepanjang karier saya, apa yang boleh saya kata... saya telah melalui kesukaran tertentu dan saya sentiasa cuba menjayakannya.

“Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjadi lebih baik dan lebih baik lagi, dan mengharungi kesukaran ini. Itulah yang berlaku dalam hidup apabila anda benar-benar bersemangat, bertekad dan bersetia, keadaan tidak pernah mudah.

“Bola sepak amat sukar dan orang hanya melihat bahagian cantiknya sahaja. Namun kami bekerja amat keras bagi pencapaian ini dan saya amat bangga untuk katakan saya seorang juara dunia,” kata Giroud ketika Perancis disambut ribuan penyokong sekembalinya mereka semalam.

Giroud turut dikritik oleh pengulas-pengulas dan penyokong dalam Liga Perdana selepas menjaringkan hanya lima gol dan mencipta tiga bantuan dalam 18 penampilan bersama Chelsea sejak menyertai kelab itu pada Januari.

“Tidak, tidak, tidak kerana saya telah dikritik sedikit tetapi keadaan sama juga di Perancis.

“Sebagai contoh, saya tidak menjaringkan gol dalam Piala Dunia. Saya menerima banyak pesanan daripada orang yang cukup mengenali bola sepak, ramai penyokong Perancis. Mereka melihat usaha yang saya buat untuk pasukan,” katanya apabila ditanya jika dia berasa lebih dihormati di Perancis.

Giroud bakal kembali beraksi bersama Chelsea dalam perlawanan Perisai Komuniti pembuka musim menentang Manchester City pada 5 Ogos. – REUTERS