Melihat kepada standard Firmino, gol dijaringkannya di Rusia setakat ini bukanlah berkualiti, apatah lagi dilakukannya sambil memandang bola ketika menyepak ke dalam gawang Mexico.

Tonggak Reds itu, yang terkenal dengan tabiat tidak memandang bola ketika menjaringkan gol, berjaya membantu Brazil ke suku akhir Isnin lalu, walaupun dibawa masuk sebagai pemain gantian.

Belgium bakal menawarkan ujian getir buat anak buah Tite di Kazan Sabtu ini, perlawanan yang bakal mempertemukan dua pasukan sempurna.

Oleh itu, jurulatih Brazil itu perlu membuat keputusan penting. Casemiro digantung, dan mungkin digantikan dengan pemain tengah Fernandinho, sementara Marcelo bakal kembali ke posisi yang digalas Filipe Luis di bek kiri. Untuk bek tengah, sama ada Fagner ataupun Danilo akan memikul taggungjawab itu.

Walau bagaimanapun, keputusan besar bakal dibuat Tite berhubung kedudukan No. 9, sama ada Firmino ataupun Gabriel Jesus. Setakat ini, Jesus menjadi pilihan untuk mengisi kesebelasan utama Brazil dalam empat perlawanan manakala Firmino berperanan sebagai pemain gantian.

Firmino menyertai Piala Dunia selepas mengharungi musim cemerlang bersama Liverpool setelah meledakkan 27 gol dalam semua pertandingan.

Jesus pula bukanlah tidak hebat, malah bintang muda Manchester City itu memainkan peranan besar membantu Brazil menempah slot ke Rusia. Tite cukup jelas merupakan peminat Jesus.

Penyerang itu diberikan tugas selaku kapten sewaktu perlawanan persahabatan dengan Croatia di Anfield, walaupun pertemuan tersebut menyaksikan Firmino meledakkan gol dari bangku simpanan.

Terdapat pandangan dalam skuad Brazil bahawa Firmino gemar melakukan larian dari sebelah kiri padang, yang menjadi punca dia menjadi pilihan kedua.

Namun, bintang Chelsea, Willian memilih untuk mempertahankan kedudukan Jesus dalam skuad Brazil.

“Kami semua percaya kepadanya. Saya ada mendengar kritikan terhadapnya kerana masih gagal menjaringkan gol, tetapi Jesus merupakan pemain yang bijak mengawal dan menguasai bola. Kami percaya kepadanya untuk terus beraksi dengan kami. Gabriel Jesus dan Roberto Firmino, kedua-dua pemain yang penting,” kata Willian. AGENSI