JIKA Luka Modric (kanan) ligat memburu bola dalam padang, Zlatko Dalic pula berperanan mengatur strategi Croatia untuk menyekat Perancis dalam final Piala Dunia 2018 di Luzhniki, Rusia, esok. AP

Bagaimanapun tidak ramai yang mengetahui latar belakang pengendali yang tiba-tiba namanya melonjak naik berbanding kesusahan yang dilaluinya sebelum mencipta nama dalam persada bola sepak dunia ketika ini.

Walaupun Croatia belum lagi bergelar juara dunia kerana perlu melepasi halangan Perancis terlebih dahulu di final Ahad ini, nama Dalic kini sudah menjadi sebutan dan di mana-mana sahaja peminat bola sepak berbicara mengenainya.

Hakikatnya, sebelum dipanggil melatih skuad kebangsaan Croatia, Dalic sebenarnya sudah puas mengembara menimba ilmu bola sepak. Tidak perlu di negara besar atau merupakan kuasa bola sepak dunia tetapi cukup dengan merantau ke Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Atas dasar percaya terhadap kemampuan diri sendiri, Dalic sentiasa berpegang kepada kata-kata: ”Beri saya Barcelona atau Real Madrid dan saya akan bagi mereka gelaran juara”.

Ia sebenarnya bukan kata-kata angkuh dari mulut Dalic tetapi jika anda mengenali perjalanan kariernya, ia adalah kata-kata yang menunjukkan keberanian beliau sebagai seorang pengendali yang tidak begitu dikenali sebelum ini.

Kini dengan berjaya membawa Croatia selangkah lagi untuk bergelar juara dunia buat kali pertama, jurulatih berusia 51 tahun ini mula bercerita tentang rahsia bagaimana dia mampu sampai ke tahap sekarang.

“Dalam hidup ini, saya selalunya memilih jalan yang sukar (berbanding jalan pintas atau mudah) yang memerlukan saya berjuang.

“Saya suka bermula daripada bawah atau tempat yang asing (sehingga sanggup ke Timur Tengah pada 2010). Kalau ikut hati, saya boleh sahaja duduk di Croatia dan hidup tanpa masalah tetapi saya tidak mahu.

“Jadi saya mengembara ke luar di mana saya boleh mendapat kerja,” katanya. – Agensi