Perlawanan akhir esok adalah sesuatu yang tidak ramai menjangkakannya.

Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar kesemuanya telah pulang. Begitu juga dengan kuasa tradisi iaitu Jerman, Brazil dan Argentina.

Sebaliknya Perancis yang dibarisi pemain berbakat dan merupakan pasukan kedua termuda dalam kejohanan ini akan bertemu Croatia yang diinspirasikan oleh Luka Modric, pemain tengah terbaik dunia ketika ini.

Mungkin sebahagian kita berasa kecewa kerana perlawanan akhir bukan antara kuasa tulen bola sepak, atau tiada pasukan Amerika Selatan terbabit.

Tetapi ini masih lagi perlawanan akhir Piala Dunia, dan bagi Perancis esok adalah peluang untuk menyertai Argentina dan Uruguay yang memenangi trofi sebanyak dua kali. Perancis pernah memenanginya pada 1998.

Ketika itu, Didier Deschamps adalah ketua pasukan. Kini dia adalah jurulatih, dan dia berpeluang menjadi orang ketiga memenangi trofi selaku pemain dan pengurus selepas Mario Zagallo dari Brazil dan legenda Jerman, Franz Beckenbauer.

“Perlawanan akhir Piala Dunia, ini seperti impian jadi kenyataan sejak kecil lagi.

“Kami begitu hampir dengan trofi sehinggakan mahu menyentuhnya. Ini adalah perlawanan hidup mati kami,” kata pemain tengah Les Bleus, Blaise Matuidi.

Kalah kepada Itali dalam perlawanan akhir 2006, keghairahan Perancis lebih tinggi lagi setelah dikecewakan oleh Portugal dalam perlawanan akhir Euro 2016 di tempat sendiri.

Separuh daripada anggota skuad Perancis sudah berubah sekarang, tetapi kelibat Mbappe begitu menonjol. Prestasinya yang mengagumkan ketika menang 4-3 ke atas Argentina dalam pusingan kedua menarik perhatian, tetapi selain daripada itu Perancis telah memberi penekanan ke atas bahagian pertahanan.

Les Bleus bermula perlahan, kemudian ternyata terlalu kuat untuk Argentina, Uruguay dan Belgium, dan berhak menjadi pasukan pilihan esok, yang merupakan ulangan kepada separuh akhir 1998.

Ketika itu, dua gol Lilian Thuram menenggelamkan Croatia yang bermain dalam Piala Dunia pertama mereka sejak merdeka.

Selepas memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, Croatia menewaskan Denmark dan Rusia menerusi penalti penentuan dan mengalahkan England dalam masa tambahan separuh akhir.

Ini bermakna kejohanan ini sangat meletihkan bagi pasukan Zlatko Dalic.

“Kami menempuh laluan yang sukar, berkemungkinan kami merupakan satu-satunya pasukan yang bermain dalam lapan perlawanan untuk mara ke perlawanan akhir jika anda mengambil kira keseluruhan minit perlawanan.

“Ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup. Keadaan sangat sukar untuk kami tetapi saya yakin kami akan menemukan kekuatan dan semangat (untuk menghadapinya),” kata Dalic. AFP