Penyerang Juventus itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-109 bagi membolehkan pasukan kebangsaannya melangkah ke saingan akhir buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Croatia.

“Ini sesuatu yang amat menakjubkan kerana hanya pasukan terbaik mampu melangkah ke saingan akhir selepas berupaya menewaskan pasukan hebat seperti England.

“Kami beraksi umpama singa pada malam itu dan kami akan menjadi seperti itu juga dalam saingan akhir nanti,” kata Mandzukic.

Dalam perlawanan tersebut, gol awal diperoleh menerusi Kieran Trippier pada minit kelima sekali gus membolehkan England mendahului kedudukan jaringan.

Croatia hanya dapat menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Ivan Perisic sebelum gol kemenangan diraih melalui Mandzukic.

Kata Perisic, perlawanan saingan separuh akhir itu amat sukar buat mereka malah tidak jangka mampu meraih kemenangan untuk mengesahkan slot ke aksi final Piala Dunia.

“Kami anggap perlawanan separuh akhir itu umpama aksi akhir buat pasukan dan ia amat penting buat kami.

“Kami bermula dengan perlahan, namun kami tetap mempamerkan keupayaan sendiri bagi mendapatkan jaringan sekali gus membolehkan Croatia meraih kemenangan,” kata Perisic. – AGENSI