Blazevic yang terkenal sebagai ‘jurulatih segala jurulatih’ selepas membawa Croatia menduduki tangga ketiga pada 1998 percaya, Generasi Emas mereka sangat menyerlah di Rusia dan mampu pulang bersama kejuaraan.

“Rekodkan percakapan saya ini ‘Croatia akan menjuarai Piala Dunia. Mereka akan mengalahkan Brazil dalam perlawanan akhir nanti’.

“Ini bukan sekadar pendapat saya, tetapi saya percaya ramai lagi peminat bola sepak di luar sana memikirkan perkara yang sama,” katanya.

Skuad kendalian Zlatko Dalic sudah membuktikan mereka tidak takut berdepan pasukan bertaraf bintang dan itu dibuktikan ketika membalasah Argentina 3-0 dalam aksi kumpulan, malah memenangi semua perlawanan peringkat awal.

Begitu pun, Croatia memerlukan tuah penalti sebelum menyingkirkan Denmark di pusingan kalah mati, namun mereka tetap berkeyakinan tinggi untuk menghadapi Rusia di Sochi.

“Kami sudah membuktikan dalam Piala Dunia kali ini kami mempunyai harapan. Kami bermain dengan baik dan mempunyai pemain yang mampu berjuang hingga ke saat akhir,” kata pertahanan Croatia, Domagoj Vida.

Mana-mana pasukan yang memiliki kualiti pemain seperti Luka Modric pasti berani untuk memasang impian, lebih-lebih lagi dia memberikan sokongan kepada Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic.

“Saya fikir kami ada kualiti yang lebih baik dan bakal menguasai permainan (menentang Rusia),” kata penyerang, Ante Rebic. – AGENSI