Kekalahan Mexico semalam bermakna, skuad El Tri gagal melepasi peringkat 16 akhir Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut.

Kata Osoria, pasukannya tewas disebabkan Brazil beraksi lebih baik daripada mereka dalam perlawanan kalah mati tersebut dan semua pihak harus menerima keputusan itu.

Bagaimanapun, Osoria menegaskan bahawa ada contoh yang tidak baik telah dipamerkan oleh pemain Brazil, Neymar dalam perlawanan tersebut yang menyebabkan dia dan pasukan tidak gembira.

“Saya berpendapat kami mengawal perlawanan itu sepenuhnya.

“Cuma saya tidak suka dengan contoh yang tidak baik dipamerkan kepada dunia yang menyaksikan perlawanan tersebut,” kata Osoria.

Mexico memulakan aksi menentang Brazil dengan keyakinan tinggi terutama selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan, Jerman dalam peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, kemenangan tidak memihak Mexico dalam perlawanan tersebut, malah penyerang El Tri, Javier Hernandez berpendapat ia sesuatu yang menyakitkan untuk diterima.

“Kami amat sedih dan kecewa kerana impian kami dalam Piala Dunia sudahpun berakhir,” kata bintang West Ham United itu. – AGENSI