Bintang penyerang, Neymar muncul wira Brazil dalam perlawanan pusingan kedua di Samara Arena itu, apabila bukan sahaja menjaringkan gol pertama pada minit ke-51 tetapi turut menjadi penggerak kepada gol kedua jaringan Roberto Firmino pada minit ke-88.

Gol pertama berpunca daripada Willian yang berjaya melepasi pertahanan kanan Mexico menggunakan larian solo dan pantasnya sebelum menyilangkan bola rendah yang disambut Neymar dengan tampanan kaki kiri ke dalam gawang lawan.

Neymar kemudian melakukan gerakan yang hampir sama apabila membuat larian solo, juga di sebelah kanan sebelum menyilangkan bola tepat kepada Firmino yang hanya menanti dalam kotak penalti untuk menampan masuk.

Dua jaringan tersebut merupakan gol ke-227 dan 228 Brazil dalam sejarah Piala Dunia untuk mengatasi pencapaian Jerman yang telah menjaringkan 226 gol.

Ini sekali gus meletakkan Brazil muncul sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam kempen Piala Dunia setakat ini.

Walau bagaimanapun Brazil tidak mencatat kemenangan itu dengan mudah apabila Mexico memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan menerusi gerakan-gerakan menarik dan serangan balas pantas terutama pada awal perlawanan.

Hanya nasib tidak menyebelahi Mexico untuk membolosi gawang Brazil yang bukan sahaja bertahan dengan baik malah mengawal permainan dengan bijak terutama pada babak pertama permainan untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan.

Sebaik sahaja memasuki babak kedua, Brazil meningkatkan kepantasan permainan mereka dengan asakan bertali arus namun kemasukan Firmino menggantikan Philippe Coutinho pada minit ke-86 mengubah rentak serangan mereka.

Firmino hanya memerlukan dua minit selepas kemasukannya untuk menghukum kelalaian pertahanan Mexico yang terkapai-kapai untuk mengikut rentak pantas serangan Brazil.

Dengan kemenangan ini, Brazil menunggu pemenang antara Belgium dan Jepun untuk persaingan di peringkat suku akhir yang dijadual berlangsung di Kazan pada 7 Julai ini. AGENSI