Walaupun tidak beraksi dalam perlawanan akhir hari ini, Khairy wajar dipuji apabila mempamerkan mutu permainan yang baik ketika membantu skuad negara meraih kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan.

Dalam perlawanan akhir hari ini, pasukan negara menewaskan Thailand 9-8 dalam aksi yang cukup mendebarkan apabila skuad Gajah Putih itu memberi saingan yang cukup sengit sehingga berakhir chukka keempat.

Khairy ketika ditemui berkata, skuad negara telah menepati sasaran untuk meraih emas dalam polo dan pihaknya gembira kerana dapat menyumbang sedikit usaha kepada kejayaan tersebut.

“Alhamdulillah saya bangga dengan pasukan yang mempamerkan aksi yang cukup baik hari ini, kemenangan ini juga memboleh­kan kita menepati sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Berkenan berangkat me­nyaksikan perlawanan akhir dan menyempurnakan upacara penyampaian pingat ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya itu, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman muncul wira apabila menjaringkan lima gol daripada sembilan gol skuad negara.

Empat lagi gol disumbangkan oleh kapten, Shaik Reismann Mohamed Ismail (dua gol), Mohd. Zulhelmie Nadzar (satu gol) dan Abdul Rashid Hasnan (satu).

Mengulas mengenai perlawanan akhir hari ini, Shaik Reismann berkata, pasukan negara telah menjangkakan Thailand akan memberikan saingan sengit berdasarkan reputasi semasa mereka yang beraksi dengan cukup baik.

“Walaupun terdapat saingan hebat dari Thailand, kita mampu mengawal permainan sehingga tamat chukka keempat. Penat lelah kami berlatih sebelum ini dibuktikan dengan kejayaan merangkul pingat emas. Dalam temasya kali ini, kita muncul satu-satunya pasukan yang beraksi tanpa kalah, kejayaan ini juga membolehkan kita mengulangi sejarah sepuluh tahun lalu iaitu memenangi emas semasa Sukan SEA Korat, Thailand,” katanya.

Pingat gangsa dalam acara tersebut dimenangi oleh pasukan Brunei yang diwakili oleh Putera Abdul Mateen Bolkiah dan kekandanya, Puteri Azimah Ni’matul Bolkiah apabila berjaya mengalahkan Singapura 10-8 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga semalam.