Beliau berkata, setakat ini, tiada apa-apa masalah yang berlaku dan kesemua peserta dari negara bertanding diberi layanan yang baik.

“Saya telah melawat dan berpeluang untuk berjumpa peserta di venue pertandingan. Hari ini pun, saya buat lawatan ke beberapa venue pertandingan di Bukit Jalil.

“Setakat ini, semua berjalan dengan baik dan harapan saya agar sepanjang penganjuran Sukan Para Asean, semua atlet yang bertanding tidak berdepan dengan apa-apa halangan, terutama di venue pertandingan dari segi kemudahan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita sewaktu mengadakan lawatan terakhir di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairy turut menghadiri upacara 'Selamat Datang’, selain menaikkan bendera negara-negara kontinjen yang berlangsung di Dataran Keris, Stadium Nasional. Kira-kira 300 atlet dari 11 negara bertanding turut menyertai upacara berkenaan.

Menurut Khairy, pihaknya juga akan memberi keutamaan kepada penonton Orang Kurang Upaya (OKU) yang datang ke venue pertandingan untuk menyaksikan acara-acara sukan yang dipertandingkan.

“Kita cuba membuka ruang sepenuhnya kepada penonton OKU. Sebagai contoh dewan ini (Stadium Axiata), mereka berkerusi roda ditempatkan di bahagian atas dan sukarelawan diberikan taklimat bagaimana hendak menyambut penonton OKU. Kita juga memastikan kemudahan lain seperi tandas telah diubah suai,” ujarnya.