Katanya, matlamat utama mencari presiden baharu bukan untuk memenuhi kepentingan peribadi sebaliknya mencari siapa yang mampu menyatukan semua pihak dan memajukan sukan bola sepak negara, dan beliau melihat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail adalah calon paling tepat untuk melakukannya.

Tunku Ismail, Khairy dan dua tokoh lain iaitu bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat dicalonkan oleh ahli gabungan FAM untuk jawatan Presiden badan induk bola sepak negara itu, yang akan mengundi calon pilihan mereka semasa Kongres Ke-53 pada 25 Mac.

Aseh dilihat mendahului manakala Khairy di tempat kedua, Tunku Ismail ketiga jika dilihat kepada jumlah pencalonan yang mereka terima ketika ini. Semua calon diminta mengesahkan pendirian mereka sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum 13 Februari.

“Ya, sudah pasti, sudah pasti (tarik diri). Saya rasa bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar pun akan tarik diri sebab beliau pernah kata jika TMJ bertanding dia akan tarik diri.

“Tan Sri Aseh sudah tentu akan tarik diri secara automatik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Parlimen Belia Malaysia Sidang III Tahun 2016 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan merebut jawatan yang akan ditinggalkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu.

Sebaliknya, beliau akan berbincang dengan beberapa pihak termasuk persatuan bola sepak negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai aspirasi mereka berhubung hala tuju bola sepak negara.

“Masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan, difahamkan ada dua minggu diberikan kepada kita untuk sahkan sama ada mahu bertanding atau tidak.

“Sebenarnya ikutkan tugasan saya sebagai menteri yang perlu menjaga kejohanan Sukan SEA, Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan sebagainya, saya agak kesuntukan masa. Jadi mahu beri perhatian sepenuhnya kepada FAM bukan satu perkara mudah dan saya kena fikir banyak aspek,” katanya.

Mengulas mengenai tiga calon lain, Khairy berkata ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai pengaruh besar dalam arena bola sepak negara namun apa yang penting adalah pemilihan kali ini tidak mendatangkan perpecahan yang boleh merugikan semua pihak.

“Saya rasa ramai pihak dalam komuniti bola sepak mahu melihat TMJ jadi Presiden, tapi beliau tidak mahu dan perkara ini kita boleh bincangkan. Peluang untuk memilih kepimpinan baharu FAM ini bukan selalu datang, mungkin 10 tahun sekali jadi janganlah mempersia-siakan peluang ini.

“Kita perlu buat keputusan tepat, pemilihan yang membawa perpecahan tidak akan menyelesaikan masalah,” tegasnya.