Menteri Belia dan Sukan itu juga menegaskan, tidak kira siapa pun yang bakal menerajui badan bola sepak negara tersebut, mereka haruslah bersedia untuk bekerjasama bagi meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini.

Khairy yang sebelum ini turut dicalonkan sebagai Presiden FAM sebelum mengambil keputusan untuk tidak bertanding menjelaskan, beliau tidak boleh memihak kepada mana-mana calon dalam pemilihan 25 Mac itu, sebaliknya akan bersikap neutral dan me­nyerahkan urusan pemilihan kepada ahli gabungan.

“Sebagai menteri saya akan bekerjasama dengan semua persatuan sukan begitu juga dengan siapa sahaja yang bakal dipilih menjadi Presiden FAM.

“Tidak kisah siapa yang akan menjadi Presiden FAM, harapan saya sama dengan peminat bola sepak tanah air yang lain iaitu mahu pembangunan diberi ke­utamaan.

“Namun, perlu diingat perubahan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata dan sewajarnya ke­pemimpinan baharu diberi masa untuk melakukannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis tajaan Sukan SEA 2017 di sini, hari ini.

Semalam, FAM mengumumkan hanya dua calon menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden iaitu pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar.

Dua calon lain, iaitu Khairy dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat memilih untuk menolak pencalonan.

Sementara itu, Khairy turut menjelaskan keputusannya menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden FAM adalah kerana mengotakan janjinya sebelum ini untuk memberi laluan kepada Tunku Ismail.

“Semalam saya telah berhubung dengan Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAM) dan beliau memaklumkan telah menerima borang pengesahan pencalonan daripada Tunku Ismail dan saya katakan tidak mengapa, saya tandatangan borang saya menolak pencalonan.

“Sekarang apabila sampai di tahap sudah ada calon maka saya perlu menunaikan janji saya sebelum ini untuk menarik diri andai Tunku Ismail bertanding, dalam masa sama saya harap anda semua faham saya perlu bersikap berkecuali sebagai seorang menteri,” katanya lagi.