Dia akan membuat perhitungan dalam aksi final bagi kategori laser di Pantai Ancol, esok bersama juara dunia dari Korea Selatan, Ha Jee Min bagi memburu pingat emas pertamanya dalam temasya itu.

Selepas 11 perlumbaan, Khairulnizam kini memiliki 17.8 mata ketinggalan 1.2 mata di belakang Jee Min.
“Saya sudah pasti mengesahkan pingat dan tempat di Sukan Olimpik selepas atlet Korea Selatan itu terlebih dahulu mengesahkan tempatnya di Kejohanan Dunia di Denmark, bulan lalu.

“Dia mengambil slot ranking terbaik Asia, jadi saya akan mengambil satu lagi kuota Asia di Sukan Olimpik menerusi Sukan Asia.

“Perjuangan masih belum selesai buat saya kerana saya masih belum menang pingat emas Sukan Asia dan saya berharap esok saya akan mengatasinya,” kata atlet kelahiran Langkawi yang akan menyertai Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

Khairulnizam akan berdepan laluan sukar untuk menundukkan Jee Min terutama selepas dia tewas di pentas final Sukan Asia Incheon empat tahun lalu selain tewas di Kejohanan Dunia di Jakarta, Jun lalu.

Bagaimanapun, Malaysia sudah pasti meraih satu pingat emas menerusi Fauzi Kaman Shah di dalam acara laser 4.7 selepas selesa berada di kedudukan teratas dengan kelebihan 20 mata mengatasi Wang Jiaxiong dari China di kedudukan kedua manakala Nur Shazrin Latif juga berada di kedudukan terbaik untuk menyumbang pingat buat negara.